Jangan malu belajar agama - Utusan Malaysia

Jangan malu belajar agama

ABDUL Halim Mat Sarib menunjukkan kitab agama yang digunakan semasa pengajian di Madrasah Pondok Al-Sharif di Kampung Sungai Tiang Baroh, Selekoh di Bagan Datuk baru-baru ini. - MINGGUAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGEM­BANGKAN ilmu agama sebagai bekalan akhirat kepada masyarakat setempat menjadi asas kepada penubuhan pusat pengajian agama Madrasah Pondok Al-Sharif di Kampung Sungai Tiang Baroh, Selekoh di Bagan Datuk yang diasaskan oleh Abdul Halim Mat Sarib.
Berusia 52 tahun, Abdul Halim ialah anak jati Kampung Sungai Tiang Baroh yang mengasaskan madrasah itu untuk memberi peluang kepada sesiapa sahaja dan daripada pelbagai peringkat usia untuk belajar agama.
Menurutnya, madrasah itu bermula daripada sebuah pondok kecil berkeluasan kira-kira 20 kaki kali 20 kali yang dijadikan sebagai tempat orang kampung belajar agama terutama membaca al-Quran dan Jawi, belajar kitab dan lain-lain ilmu asas agama.
Katanya, dia memulakan usaha itu pada 1997 selepas belajar agama di beberapa pusat pengajian agama di Perak, Kelantan dan di Wilayah Patani dan Yala di Thailand dengan hasrat memberi peluang kepada masyarakat setempat belajar agama tanpa mengira latar belakang atau peringkat usia.
“Saya masih ingat, di peringkat awal, kami menjadikan sebuah bangunan pondok kecil sebagai tempat belajar agama, di situlah saya mengajar agama khususnya membaca al-Quran termasuk belajar Tajwid.
“Tidak lama kemudian, dengan rezeki Allah, dengan sumbangan orang ramai, pondok itu diperbesarkan sebelum bangunan tambahan dibina. Tapak pondok ini dahulunya adalah kebun dan diwakafkan oleh pemiliknya.
“Pada asasnya madrasah ini sama seperti sekolah pondok pengajian agama seperti di Kelantan. Cuma tidak menawarkan pengajian menghafal al-Quran, madrasah ini lebih kepada pengajian pra sekolah tahfiz,” katanya.
Katanya, mereka yang belajar di madrasah itu terdiri daripada pelbagai peringkat usia, daripada kanak-kanak hingga dewasa dan golongan tua yang terdiri daripada penduduk Bagan Datuk.
Jelasnya, pihaknya membuka kelas pengajian tanpa mengira usia asalkan berminat belajar agama.
“Bagi dewasa sehingga ke golongan tua, mereka tidak perlu rasa malu untuk belajar terutama yang tidak tahu membaca al-Quran. Di sini, kalau tidak tahu membaca al-Quran, mereka boleh belajar muqaddam terlebih dahulu, kalau baca al-Quran merangkak-rangkak, tak mengapa, lama kelamaan mereka akan lancar.
“Perkara utama, jangan malu untuk belajar apatah lagi belajar agama yang akan menjadi bekalan kita di akhirat nanti. Kalau malu sampai bila kita nak jadi macam ini, perlu menuntut ilmu, orang kata ‘beramal tanpa ilmu akan tertolak amalan’.
“Begitu juga golongan muda, ada yang tak tahu solat tetapi mereka boleh belajar di sini, orang muda biasalah kalau suka mengikut kawan-kawan namun kita jangan alpa untuk mengingatkan mereka tentang bekalan akhirat.
“Mereka yang belajar di sini tidak dikenakan bayaran namun boleh menghulurkan sumbangan melalui tabung yang kita sediakan,” katanya.
Menurutnya, sebagai usaha membentuk pelapis dalam bidang pendidikan agama dalam kalangan generasi muda, madrasah itu menawarkan pengajian secara sepenuh masa kepada golongan muda seawal usia 13 tahun.
“Bagi pengajian tetap di sini, pelajar dikenakan yuran seumur hidup RM300 dan yuran bulanan RM230 kerana di sini kemudahan asas untuk mereka disediakan.
“Umur pengambilan mulai dari usia tingkat 1, yang penting ada minat nak belajar agama. Syarat utamanya minat hendak belajar agama dan kalau tak boleh membaca al-Quran pun, kita mula dari bawah. Memang ada pelajar yang seperti ini tetapi dalam masa setahun, mereka sudah lancar membaca al-Quran sebab perkara ini kita tekankan setiap hari,” katanya.
Menurut Abdul Halim, dia akan terus mengembangkan madrasah itu dan mahu mencurahkan ilmu agama dipelajarinya di beberapa sekolah agama di Perak, Kelantan, Patani dan Yala di kepada saudara seagama.
“Madrasah seperti ini tidak banyak di negeri ini, tidak seperti di Kelantan yang mana jumlahnya cukup banyak.
“Saya berharap masyarakat di sini dapat datang dan mempelajari agama di sini sebagai bekalan untuk kita di akhirat kelak” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya