PORT DICKSON: Sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Sabtu ini semakin meningkat.
Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, momentum sokongan itu adalah positif, namun mengakui belum boleh membuat jangkaan corak pengundian kelak.
“Masih belum dapat lihat lagi namun sekarang ini semakin hari semakin positif, semakin baik. Saya terus merayu pengundi agar memberikan sokongan kepada PH.
“Cumanya saya berharap tidak berlaku perkara yang boleh menyebabkan penolakan kepada PH. Saya yakin pengundi di Negeri Sembilan matang dalam membuat keputusan dalam memilih pimpinan mereka,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Aminuddin yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi juga gembira apabila PH dapat menangkis serangan lawan sepanjang kempen ini khususnya berkaitan kaum dan agama.
“Pada awalnya nampak perlahan namun sehingga kini kempen kami amat baik terutama apabila berjaya menangkis isu kaum dan agama yang dimainkan pihak lawan.
“Peningkatan baik ini bukan sahaja di kerusi Linggi yang saya tandingi malahan di semua 36 kerusi yang ditandingi oleh PH di Negeri Sembilan,” katanya.
Sebelum itu, Aminuddin turut meluangkan masa meninjau proses pengundian di pusat pengundian awal di Kem Segenting di sini.
“Pasukan keselamatan sama ada polis atau tentera amat berdisiplin. Saya yakin peratusan mereka keluar mengundi tinggi.
“Kita lihat sejak awal lagi mereka hadir bersama keluarga untuk mengundi. Ini menunjukkan disiplin tinggi dalam kalangan anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.
“Insya-Allah, peratusan keluar mengundi di pusat pengundian awal ini akan menjadi antara yang tertinggi pada pilihan raya kali ini,” katanya. – UTUSAN










