Ketiadaan pengerusi jejaskan persiapan PN di Negeri Sembilan

Ketiadaan pengerusi jejaskan persiapan PN di Negeri Sembilan

R. SRI SANJEEVAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tahap kesiapsiagaan Perikatan Nasional (PN) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kini menimbulkan persoalan.

Ia selepas gabungan parti itu masih tidak mempunyai pengerusi di peringkat negeri malah didakwa masih belum mengadakan mesyuarat rasmi bagi menyelaras persiapan bagi menghadapi pilihan raya berkenaan.

Ketua Sayap Bersekutu Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), R. Sri Sanjeevan berkata, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sepatutnya memastikan struktur kepemimpinan negeri dan gerak kerja pilihan raya dimuktamadkan lebih awal sebelum pembubaran DUN dibuat.

“Sehingga hari ini masih belum ada pelantikan Pengerusi PN Negeri Sembilan dan tiada mesyuarat rasmi diadakan untuk menyelaraskan persiapan pilihan raya.

“Di peringkat akar umbi, jentera sedang menunggu arahan dan hala tuju yang jelas. Malangnya, yang kedengaran hanyalah kesunyian. Tiada arahan, tiada penyelarasan dan tiada kepimpinan yang kelihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mendakwa kelewatan membuat keputusan berkaitan kepimpinan dan penyelarasan jentera boleh memberi kesan terhadap keyakinan penyokong serta keberkesanan gerak kerja gabungan itu.

Dalam pada itu, Sanjeevan berkata, PN juga perlu menjelaskan kedudukan semasa gabungan berkenaan susulan pengumuman Pas berhubung penamatan kerjasama politik dengan Bersatu.

“Isu ini bukan perkara kecil kerana ia melibatkan masa depan dan kelangsungan gabungan itu sendiri.

“Berdiam diri bukan satu bentuk diplomasi. Berdiam diri adalah petanda bahawa tiada jawapan yang mampu diberikan,” katanya.

Katanya, isu tersebut perlu diperjelaskan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan ahli dan penyokong mengenai hala tuju gabungan berkenaan pada masa hadapan.

Beliau menambah, kekosongan kepimpinan dan ketidaktentuan hala tuju politik boleh menjejaskan keyakinan ahli serta penyokong sekiranya tidak ditangani segera.

Sehubungan itu, beliau menggesa kepimpinan tertinggi PN mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan isu berkenaan serta memperkukuhkan persiapan menghadapi PRN.

Hari pengundian PRN Negeri Sembilan akan diadakan pada 1 Ogos ini dengan hari penamaan calon telah ditetapkan pada 18 Julai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN