SHAH ALAM: PKR belum menamakan mana-mana individu sekiranya parti itu mahu menggantikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang hilang kepercayaan daripada majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu.
Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu masih dalam perbincangan namun urusan penggantiannya perlu ditangani mengikut perlembagaan dan urusan di peringkat adat Negeri Sembilan.
“Itu yang saya tidak boleh campur (ulas). Setakat ini kita menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir supaya Aminuddin meneruskan pentadbiran.
“Tetapi hal itu (calon lain) masih di peringkat perbincangan kerana masalah yang berlaku itu harus ditangani sama ada dalam perlembagaan dan juga urusan adat Negeri Sembilan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Pekerja Peringkat Selangor 2026 di sini, semalam.
Bulan lalu 14 orang ADUN Negeri Sembilan dari Barisan Nasional (BN) mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin sebagai menteri besar.
Amirudin dalam pada menjelaskan, perkara itu hanya akan dapat diselesaikan selepas pertikaian terhadap kuasa Undang Yang Empat berhubung dakwaan pemecatan Tuanku Muhriz yang menimbulkan pertembungan antara perlembagaan dan adat.
“Jadi, urusan tentang kewujudan (peranan) Undang dan Yang di-Pertuan Besar (penyelesaiannya), barulah (kemudian) pengesahan jawatan Menteri Besar dapat dimuktamadkan.
Jadi, perkara itu harus diselesaikan melalui musyawarah dengan semua pihak (Undang, Yang di-Pertuan Besar dan Kerajaan Negeri) sebagaimana terdapat dalam perlembagaan. Kena bekerja bersama-sama untuk selesaikan masalah tersebut,” ujarnya. – UTUSAN










