Kemelut pentadbiran Negeri Sembilan dari sudut perlembagaan

Kemelut pentadbiran Negeri Sembilan dari sudut perlembagaan

SEPATUTNYA soal pertikaian institusi beraja, pembesar dan kuasa adat di Negeri Sembilan diselesaikan melalui Dewan Keadilan dan Undang (DKU).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMELUT pentadbiran Negeri Sembilan semakin memuncak apabila Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah membatalkan pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negeri berkuat kuasa serta-merta.

Langkah ini diambil atas alasan bahawa kesemua exco terbabit telah memungkiri sumpah jawatan mereka.

Soalnya, bolehkah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan membatalkan pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negeri.

Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 memperuntukkan bahawa seseorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memegang jawatannya selagi diperkenan Yang di-Pertuan Besar, melainkan jika pelantikan tersebut dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Besar atas nasihat Menteri Besar, atau jika Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu meletakkan jawatan.

Jelas bahawa Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan memberikan kuasa untuk membatalkan pelantikan atau memecat seseorang Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negeri kepada Yang di-Pertuan Besar, yang bertindak atas nasihat Menteri Besar.

Soalnya, dalam kenyataan berkaitan pemecatan yang diumumkan pada 21 September, kita tidak dimaklumkan berkaitan kewujudan nasihat Menteri Besar untuk tujuan pemecatan itu.

Jika pihak Yang di-Pertuan Besar melaksanakan pemecatan tanpa nasihat seorang Menteri Besar, maka pemecatan itu tidak memenuhi kehendak Perlembagaan negeri. Ringkasnya, pemecatan sedemikian tidak sah dan tidak berkuatkuasa.

Alasan bahawa ahli-ahli berkenaan telah memungkiri sumpah ini melalui tindakan dan kenyataan mereka pada 15 Sept, bukanlah satu alasan yang wajar untuk membolehkan Yang di-Pertuan Besar bertindak melampaui kuasa yang dibenarkan oleh Perlembagaan.

Krisis pemerintahan di Negeri Sembilan yang melibatkan istana dan badan pentadbiran memasuki fasa yang amat kritikal.

Buat masa ini, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir diiktiraf oleh Peguam Negara serta badan pentadbiran kerajaan Persekutuan sebagai Yang di-Pertuan Besar yang sah.

Manakala Tunku Nazaruddin Tuanku Jaafar pula diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar oleh Undang Yang Empat, Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Negeri.

Kewujudan dua Yang di-Pertuan Besar yang diiktiraf oleh pihak-pihak yang berbeza perlu dirungkaikan segera.

Sepatutnya soal pertikaian yang melibatkan institusi beraja, pembesar dan kuasa adat di Negeri Sembilan diselesaikan melalui Dewan Keadilan dan Undang (DKU).

Walau bagaimanapun keanggotaan DKU itu sendiri menjadi pertikaian kerana wujud dua Yang di-Pertuan Besar dan terdapat pula pelantikan-pelantikan baharu anggota DKU yang boleh dipersoalkan kesahannya.

Oleh yang demikian, DKU berdepan kesukaran untuk boleh menjadi badan berwibawa untuk merungkaikan kemelut semasa di Negeri Sembilan.

Dalam menghadapi konflik-konflik sebelum ini, terdapat juga inisiatif penubuhan badan bebas oleh kerajaan negeri bagi mencadangkan jalan penyelesaian.

Namun dalam konteks konflik semasa, kerajaan negeri sendiri berada di tengah-tengah konflik. Jika penubuhan badan bebas itu dibuat oleh kerajaan negeri, tentu ada yang mempertikaikan tahap kebebasan badan itu.

Manakala kerajaan Persekutuan pula tidak mempunyai peranan dan kuasa yang jelas untuk campur tangan dalam penyelesaian masalah di Negeri Sembilan.

Fungsi Jabatan Peguam Negara hanya terhad sebagai badan rujukan tafsiran Perlembagaan. Badan berkenaan tidak ada peranan untuk bertindak secara aktif dalam menyelesaikan masalah yang berlaku.

Kedudukan dan kuasa Perdana Menteri serta Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan adalah berasingan daripada institusi pemerintahan Negeri Sembilan dari sudut struktur federalisme.

Situasi ini lebih kritikal memandangkan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan mempunyai pendirian yang bertentangan khususnya berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar.

Agak kecil kebarangkalian kerajaan negeri merujuk kepada kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan konflik yang mendalam ini.

Ada yang menyebut peranan Majlis Raja-Raja Melayu sebagai badan yang berwibawa bagi menyelesaikan masalah di Negeri Sembilan.

Masalah dalaman pemerintahan negeri tidaklah termasuk dalam lima fungsi Majlis Raja-raja yang termaktub dalam Perkara 38(2) Perlembagaan Persekutuan.

Walau bagaimanapun, peruntukan perlembagaan itu menyebut tentang peranan umum Majlis Raja-Raja untuk ‘menimbang teliti soal-soal mengenai apa-apa perkara lain yang difikirkannya patut’.

Selain daripada itu, terdapat juga pihak yang mengaitkan penyelesaian kepada kemelut di Negeri Sembilan dengan kuasa darurat di bawah Perkara 150.

Perlu diingat, bahawa kuasa Proklamasi Darurat ini hanya sah jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku atau dijangka akan berlaku yang menyebabkan “keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam”.

Dalam konteks krisis di Negeri Sembilan, pada zahirnya kerajaan negeri masih boleh berfungsi dan belum ada tanda-tanda bahawa “keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam” terjejas.

Tetapi, jika kerajaan negeri tidak dapat berfungsi, maka terdapat kesan besar kepada rakyat sehingga boleh membawa kepada penyelesaian melalui Perkara 150.

Namun begitu, perlu diingatkan bahawa, jika mekanisme darurat digunakan sekalipun, pendekatan penyelesaian tetap berteraskan prinsip perlembagaan adat dengan mengambil kira pendirian semua pihak secara adil, saksama dan berwibawa.

Ringkasnya, krisis pemerintahan di Negeri Sembilan semakin mencengkam. Diharapkan agar jentera pentadbiran kerajaan negeri dapat terus berjalan tanpa diganggu dengan konflik yang wujud.

Dalam masa yang sama, usaha penyelesaian melalui rundingan dan kesepakatan perlu diutamakan, agar masalah yang wujud dapat dirungkaikan dengan segera dan berwibawa. – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Muhammad Fathi Yusof ialah pensyarah di Pusat Pengajian Polisi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×