SEREMBAN: Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sebelum ini berdepan sekatan akses ke Wisma Negeri kini dibenarkan memasuki bangunan berkenaan, namun hanya bagi menjalankan urusan sebagai wakil rakyat kawasan masing-masing.
Mereka ialah ADUN Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris; ADUN Gemencheh, Suhaimizan Bizar dan ADUN Sungai Lui, Datuk Mohd. Razi Mohd. Ali.
Ketiga-tiga mereka hadir bagi mengikuti Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Kewangan, Tanah dan Sumber Alam yang bermula kira-kira pukul 9.30 pagi tadi di Bilik Gerakan Negeri.
Mesyuarat itu turut disertai Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dan barisan kepimpinan Setiausaha Kerajaan Negeri.
Bagaimanapun, ketiga-tiga wakil rakyat berkenaan belum menjalankan tugas dalam kapasiti sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) susulan isu berhubung kedudukan pelantikan barisan Exco sebelum ini.
Zaifulbahri sebelum ini memegang portfolio Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Modal Insan, manakala Suhaimizan merupakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).
Mohd. Razi pula sebelum ini memegang portfolio Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup.
Sebelum ini, akses ke Wisma Negeri menjadi perhatian susulan pelantikan 10 Exco negeri dilaporkan terbatal menerusi pewartaan kerajaan negeri, menyebabkan kawalan kemasukan ke bangunan pentadbiran kerajaan negeri itu diperketatkan.
Perkembangan terbaharu itu membolehkan wakil rakyat terbabit kembali menjalankan urusan sebagai ADUN di Wisma Negeri, sementara menunggu perkembangan lanjut berhubung kedudukan mereka sebagai Exco.-UTUSAN











