Kalau mahu 'tebuk atap' 2023 kami sudah buat - Jalaluddin

Kalau mahu ‘tebuk atap’ 2023 kami sudah buat – Jalaluddin

JALALUDDIN Alias berucap pada Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO boleh mengambil jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) sekiranya mahu memandangkan memiliki lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding setiap parti dalam Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, UMNO memiliki 14 kerusi DUN, sementara Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya lima kerusi, DAP (11 DUN) dan Parti Amanah Negara (Amanah) satu kerusi.

Oleh itu, kata beliau, UMNO boleh ‘tebuk atap’ lebih awal sekiranya mahu dan bukannya ketika berlaku isu melibatkan institusi adat.

“UMNO dikatakan mengkhianati perjanjian Kerajaan Perpaduan, tetapi kalau hendak ‘tebuk atap’ 2023 sudah buat kerana kita ada kerusi banyak. Ramai orang mesej dan berkata ‘Jalal ini masa kamu’ tetapi saya menghormati keputusan Pusat menubuhkan Kerajaan Perpaduan supaya menjaga kesejahteraan, kesinambungan dan meneruskan khidmat.

“Jika UMNO mahu tebuk atap, kita telah lakukan lama dahulu. Rakan-rakan ADUN di Negeri Sembilan boleh sahkan, tidak ada sebarang perbincangan awal untuk perkara itu. Peluang itu sudah terhidang selepas PRN, namun kita memilih untuk bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya berucap pada Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Jalaluddin berkata, beliau menghormati keputusan kepemimpinan Pusat untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan demi menjaga kestabilan dan kesinambungan pentadbiran.

Bagaimanapun, katanya, Datuk Seri Aminudin Harun seperti tidak menghormati UMNO Negeri Sembilan apabila mengambil keputusan sendiri tanpa melakukan perbincangan.

“Saya menghormati keputusan kepemimpinan Pusat untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan supaya kita dapat terus berkhidmat kepada rakyat. Selama dua tahun saya bekerja, adakah kita menggugat kerajaan atau mencetuskan kekacauan? Ada atau tidak?

“Aminuddin sepatutnya bertindak sebagai orang tengah yang menghubungkan semua pihak terbabit supaya isu berbangkit dapat diselesaikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×