Akmal letak jawatan bukan tekanan henti kerjasama kerajaan

Akmal letak jawatan bukan tekanan henti kerjasama kerajaan

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan mendapatkan penjelasan Ketua Pemuda, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berhubung kenyataan akan mengkritik pihak tertentu secara lebih lantang selepas melepaskan jawatan Exco Kerajaan Negeri Melaka.

Presiden UMNO itu berkata, peletakan jawatan Dr. Muhamad Akmal adalah keputusan peribadi dan telah dimaklumkan kepada beliau serta Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

“Dr. Akmal telah berbincang dengan saya dan Datuk Seri Rauf dan saya menghormati pendirian beliau untuk melepaskan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka.

“Mungkin dengan keputusan itu, beliau mempunyai masa dan ruang yang lebih luas untuk turun ke akar umbi, khususnya ke bahagian-bahagian Pemuda kerana kita mempunyai 191 bahagian Pemuda.

“Saya ingin tahu (dakwaan serangan) daripada beliau nanti. Saya akan jumpa dengan beliau, bila nak serang dan siapa dalam perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perjumpaan Khas bersama Perwakilan Pelajar Kelab UMNO Luar Negara dan Majlis Pelancaran Logo Baharu Kelab UMNO Luar Negara di sini.

Mengulas sama ada keputusan itu dibuat dalam mesyuarat atau sebaliknya, Ahmad Zahid menjelaskan ia merupakan keputusan peribadi Dr. Muhamad Akmal dan tidak menjejaskan kerjasama dalam parti atau kerajaan negeri.

“Itu hak peribadi beliau. Beliau tahu apa yang beliau lakukan. Saya tidak fikir ini satu tekanan. Datuk Seri Rauf tahu apa yang akan beliau lakukan selepas ini,” katanya.

Berhubung kenyataan Dr Muhamad Akmal yang mencadangkan agar UMNO melupakan ‘luka lama’ dan mempertimbangkan semula kerjasama menerusi Muafakat Nasional, Ahmad Zahid menegaskan sebarang keputusan muktamad terletak di tangan kepimpinan tertinggi parti.

“Itu cadangan dan saranan. Keputusan muktamad adalah daripada kepimpinan atasan UMNO, khususnya Majlis Tertinggi. Beliau boleh kemukakan pandangan itu dalam mesyuarat Majlis Tertinggi akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN