PERTEMBUNGAN 11 penjuru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat menjadikan kerusi ini antara yang paling panas dalam pilihan raya kali ini.
Walaupun jumlah calon ramai, perhatian sebenar tertumpu kepada misi Barisan Nasional (BN) yang mahu menamatkan dominasi kumpulan yang dianggap sebagai pengkhianat, khususnya selepas episod lompat parti menggoncang kestabilan politik sejak beberapa tahun lalu.
Calon BN ketika itu, Datuk Ir. Shahelmey Yahya memenangi kerusi berkenaan di bawah logo BN sebelum berpindah ke blok lain selepas pembentukan kerajaan negeri baharu.
Dengan tempoh penyandang mencecah hampir lima tahun, BN melihat Tanjung Keramat sebagai kerusi penting yang perlu direbut kembali, sekali gus memulihkan mandat yang dianggap telah dikhianati.
Bagi BN, kerusi ini menjadi medan simbolik untuk menghantar mesej bahawa budaya lompat parti perlu dihentikan, lebih-lebih lagi kerana sejarah kawasan tersebut berkait rapat dengan tokoh yang meninggalkan parti selepas diberikan kepercayaan melalui undi rakyat.
Keadaan menjadi lebih menarik apabila adik Shahelmey, Shah Alfie Yahya Ahmad Shah, pula tampil sebagai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kerusi sama, seolah-olah mahu mempertahankan kesinambungan legasi keluarga di kawasan itu.
Kehadirannya membuka ruang kepada BN yang mempertaruhkan Jeffery Nor Mohamed untuk mengukuhkan naratif bahawa kerusi ini perlu dipulangkan kepada parti asal.
BN melihat perkembangan itu sebagai peluang untuk menegaskan bahawa kesetiaan kepada mandat rakyat mesti dihormati dan episod pelompat parti tidak boleh dinormalisasikan.
Bagaimanapun, persaingan 11 penjuru juga membawa risiko tersendiri, khususnya jika pecahan undi terlalu besar sehingga menggugat undi asas BN, terutama jika calon bebas atau parti lain berjaya memancing rasa kecewa pengundi terhadap politik lama.
Di pihak BN, keyakinan mereka bersandar kepada sentimen penolakan terhadap pelompat parti yang dipercayai masih kuat di peringkat akar umbi.
Persoalan utama kini ialah sama ada pengundi mahu menghukum episod pengkhianatan lama atau memilih kestabilan melalui calon baharu yang masih berkait rapat dengan sejarah kerusi itu.
Dengan jumlah calon seramai 11 orang, persaingan ini terbuka luas dan sebarang perubahan kecil dalam undi mampu mengubah keputusan secara drastik. Kerusi Tanjung Keramat akhirnya menjadi penentu sama ada pengundi lebih mementingkan memori politik atau harapan baharu. – UTUSAN










