Gerakan tiada masalah Pas ketuai Perikatan Nasional

Gerakan tiada masalah Pas ketuai Perikatan Nasional

BALJIT SINGH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) tidak mempunyai masalah sekiranya Pas memimpin Perikatan Nasional (PN) dan menamakan calon Perdana Menteri daripada parti Islam itu.

Naib Presiden Gerakan, Datuk Baljit Singh berkata, bagaimana pun perkara itu perlu mendapat persetujuan daripada PN seluruhnya sebelum keputusan tersebut dibuat.

“Ini semua akan dibincangkan, keputusan itu bukan daripada satu pihak sahaja. Untuk Gerakan, kita tiada bantahan siapa pun jadi calon Perdana Menteri termasuk daripada Pas.

“Asalkan PN setuju, kita pun akan setuju,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Semalam, Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mazlan Ali berkata, Pas dilihat sukar direalisasikan tanpa sokongan pengundi bukan Melayu serta parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

Malah katanya, Pas juga tidak mampu memperoleh 112 kerusi secara bersendirian untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Baljit turut berkata, perkara ini belum lagi dibincangkan dalam mesyuarat Gerakan, namun percaya isu tersebut akan berbangkit kerana menjadi topik hangat dalam PN ketika ini.

“Ya memang belum dibincangkan, dan kita sudah pasti akan bincangkan. Ia harus difahami, siapa pun yang diangkat menjadi calon Perdana Menteri daripada PN, ia adalah Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia.

“Kalau Perdana Menteri itu daripada Pas, ia adalah Perdana Menteri untuk semua, bukan mewakili mana-mana kaum,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai sokongan bukan Melayu terhadap Gerakan dan PN, Baljit turut berkata kini dilihat semakin meningkat dengan mengambil kira kos sara hidup rakyat yang kini terhimpit dan mereka merasakan tidak boleh bergantung harap secara terus dengan kerajaan hari ini.

“Jika kita lihat, sokongan bukan Melayu itu datang secara ‘semula jadi’ kepada kita. Ekonomi rakyat susah, harga barang meningkat dan banyak janji mereka tidak dilaksanakan.

“Jadi rakyat agak bosan dan rasa tertipu dengan kerajaan hari ini, berdasarkan perkara itu, kita yakin ada peningkatan dari segi sokongan bukan Melayu,” katanya.

Sebelum ini, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, PN mampu meraih kemenangan yang lebih besar sekiranya Pas diberi tanggungjawab untuk mengetuai gabungan itu termasuk menjadi Pengerusi PN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN