Tiada rundingan BN-GRS, pertembungan tiga penjuru sukar dielak - Zahid

Tiada rundingan BN-GRS, pertembungan tiga penjuru sukar dielak – Zahid

BN GRS
AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) mengesahkan tiada sebarang perbincangan rasmi dilakukan dibuat parti itu dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berhubung rundingan kerusi atau kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau mengakui pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru tidak dapat dielakkan susulan kemungkinan penyertaan parti-parti lain dan baharu dalam pilihan raya itu.

Menurutnya, bagaimanapun beliau memberi jaminan tiada pertembungan atau pertindihan kerusi antara BN dengan rakan sekutunya, Pakatan Harapan (PH), namun menghormati rundingan antara komponen Kerajaan Perpaduan itu dengan GRS.

“Yang sudah dimuktamadkan adalah BN-PH dan kita menghormati PH-GRS. Tidak ada rundingan secara langsung di antara BN dan GRS. Jadi, setakat itu, perundingan yang lain supaya dielakkan daripada tiga penjuru ataupun pertindihan kerusi itu dilakukan di belakang tabir.

“Namun saya rasa oleh kerana terlalu banyak parti-parti baharu di Sabah, mahu menyertai pilihan raya kali ini, tentunya pertandingan tiga penjuru tidak dapat dielakkan, mungkin hingga ke lapan penjuru. Itu terpulang kerana itu adalah landskap politik di Sabah. BN-PH tiada pertindihan kerusi,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Istiadat Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-16, hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan hasrat membentuk gabungan BN, PH dan GRS bagi menghadapi PRN Sabah yang dijangka Oktober ini dilihat semakin sukar apabila rundingan pembahagian kerusi masih menemui jalan buntu.

Walaupun gabungan itu diyakini mampu mengelakkan perpecahan undi dan menjamin kemenangan majoriti, namun tuntutan GRS untuk bertan­ding di sekurang-kurangnya 70 daripada 73 kerusi Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) mencetuskan kebimbangan, terutama di kawasan tradisi BN.

Sekiranya GRS berkeras de­ngan tuntutan itu, peluang pembentukan pakatan besar ini mungkin terkubur, namun jika GRS bersedia mengendurkan tuntutan dan berunding semula, laluan ke arah pembentu­kan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri boleh direalisasikan.

Dalam perkembangan berasingan, Ahmad Zahid memaklumkan keputusan menghantar notis bantahan berhubung penerimaan ahli dari parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan dipersetujui oleh Ahli Majlis Kerta Tertinggi (MKT) UMNO.

“Kita menyatakan dari dahulu parti di dalam komponen Kerajaan Perpaduan tidak seharusnya menerima mana-mana ahli daripada mana-mana parti masing-masing. Itu harus dihormati, ia merupakan suatu konvensyen yang harus dihormati.

“Notis itu sedang disediakan, tetapi saya sudah menyatakan secara verbal (bercakap) kepada presiden-presiden parti yang berkenaan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN