SHAH ALAM: Rundingan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hanya akan selesai sehingga hari penamaan calon.
Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, beliau mengakui berdepan cabaran untuk mengagihkan kerusi menerusi kerjasama itu mengikut kekuatan parti masing-masing.
Menurutnya, bagaimanapun terdapat pertemuan bersama Barisan Nasional (BN), PH serta GRS yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Cabarannya bagaimana mengagihkan kerusi mengikut kekuatan masing-masing.
“Sebenarnya perundingan kerusi selalunya berdasarkan pengalaman kita adalah sampai ke titik-titik terakhir, sehinggakan pada penamaan calon pun masih ada lagi berunding. Mungkin satu atau dua kerusi diputuskan pada saat akhir,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian eDOLA Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) Ke-13, malam tadi.
Malah, jelas Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi itu, tindakan GRS mahu bergerak solo tidak lagi relevan ketika ini dan mendakwa parti itu tidak berhasrat untuk bertanding melalui cara tersebut.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan BN mengakui adalah sukar untuk mengelakkan pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru dalam PRN Sabah, hujung tahun ini.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini berikutan kemungkinan penyertaan parti-parti lain dan baharu dalam pilihan raya itu.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan tiada pertembungan atau pertindihan kerusi antara BN dengan rakan sekutunya, Pakatan Harapan (PH), namun menghormati rundingan antara komponen Kerajaan Perpaduan itu dengan GRS.
Selain itu, Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar memberitahu beliau menunggu lampu hijau daripada Presiden PKR untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk.
“Kalau diminta untuk bertanding, saya akan bersedia. Tetapi, pada masa ini tugas saya sebagai Pengerusi MPN Sabah untuk pastikan mana-mana DUN tumpuan kita (PH) akan menang,” ujarnya. – UTUSAN










