Beri peluang PM perjelas dasar pemulihan – Rais - Utusan Malaysia

Beri peluang PM perjelas dasar pemulihan – Rais

RAIS YATIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peluang dan ruang perlu diberikan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membuat huraian dasar pemulihan atau bentuk darurat yang bakal dilaksanakan nanti.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, tindakan menyelar dan membuat pelbagai tuduhan termasuk mempertikai tindakan Muhyiddin menasihati Yang di-Pertuan Agong memberi implikasi negatif.

“Di bawah Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri ialah penasihat utama kepada Yang di-Pertuan Agong. Tiada siapa yang boleh mempertikaikannya.

“Apa yang penting tunggu dahulu pengumuman Perdana Menteri dan bukan buat andai­an atau kenyataan sewenang-wenangnya,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia semalam.

Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdul Aziz, Kuantan pada pukul 5 petang kelmarin.

Perjumpaan tersebut mencetuskan spekulasi kerajaan mencadangkan perintah darurat.

Bagaimanapun, Seri Paduka dalam titahnya berkenan untuk mengadakan rundingan dengan Raja-raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan-cadangan dikemukakan Perdana Menteri.

Seri Paduka turut bertitah menasihatkan rakyat supaya bertenang, tidak panik dan bersabar.

Rais berkata, berdasarkan situasi masa kini, pengumuman darurat walaupun berat adalah wajar jika wujud tiga elemen yang memberi bebanan kepada sesebuah negara iaitu keselamatan, ekonomi dan ketenteraman awam.

“Jika ada ketiga-tiga masalah ini, darurat boleh dilaksanakan. Tapi sudah tentu bukan seperti darurat pada 1969.

“Lagipun, dalam keadaan sekarang ada keperluan untuk ‘cantas’ kerenah birokrasi seperti peruntukan kewangan dalam menangani Covid-19,” jelasnya. – MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN