KUALA LUMPUR: Walaupun tidak sehaluan dan sering ‘bergaduh’, Pas sedia bekerjasama dengan Parti Amanah Negara (Amanah) demi penyatuan umat Islam.
Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, meskipun parti itu dilihat tersasar jauh sehingga dilabel ‘barua’ DAP, Pas sebagai sebuah parti Islam yang terbuka perlu meletakkan penyatuan sebagai keutamaan dalam membentuk negara Islam berdaulat.
“Kalau mereka menerima gagasan Islam dan prinsip perjuangan dalam Islam serta tinggalkan DAP, kita tidak ada apa-apa halangan. Tapi biar dia taubat nasuha, kemudian kita akan nilai sebab Pas adalah sebuah parti terbuka.
“Maknanya kita berkawan ada batas sempadan, begitu juga bergaduh sebab landasan kita adalah Islam. Perlu diingat, penyatuan umat Islam hukumnya adalah wajib,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Semalam, Presiden Amanah, Mohamad Sabu menyifatkan Pas sebuah parti lalang kerana tidak tetap pendirian sehingga boleh bekerjasama dengan UMNO yang dahulu Pas kuat menentangnya.
Terdahulu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan Amanah anak derhaka Pas kerana masih lagi menjadi pengikut DAP meskipun parti Islam itu telah memutuskan hubungan dengan parti yang ditadbir Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng.
Nik Zawawi berkata, Mohamad bagaimanapun perlu mendalami dasar Islam dengan lebih teliti supaya faham dengan konsep perjuangan dan pendirian Pas sehingga boleh bekerjasama dengan UMNO serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Mat Sabu dalam Pas dulu pun dia tak belajar sangat, dia kena kena mengaji tentang fiqh lebih mendalam lagi sebelum buat kenyataan. Dia perlu faham, dalam Islam ini ada dua perkara, satu tentang usul yang tidak boleh diubah seperti dasar dan kedua perkara boleh diubah,” ujarnya. – UTUSAN










