Pemandu mabuk mengaku tak bersalah

Pemandu mabuk mengaku tak bersalah

Pemandu mabuk
LOW Kean Peng dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk dan melanggar seorang penunggang motosikal sehingga cedera parah, di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Seorang pemandu mabuk didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol dan melanggar seorang penunggang motosikal sehingga parah pada minggu lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Low Kean Peng, 35, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan di bawah Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dibacakan ke atasnya.

Mengikut pertuduhan, lelaki yang bekerja sebagai pembantu perancang acara itu didakwa didakwa memandu kenderaan dengan kadar alkohol sebanyak 196 miligram (mg) alkohol dalam 100 milimeter (ml) darah.

Jumlah itu melebihi had 146mg alkohol dalam 100ml darah sehingga menyebabkan kecederaan parah kepada penunggang motosikal yang menjadi mangsa, Zulfiqar Zamir Amirul Nizam, 27.

Perbuatan itu dilakukan di Persiaran Kota di sini, kira-kira pukul 12.35 pagi, 13 Mei lalu yang mana sabit kesalahan, Kean Peng boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda tidak lebih RM50,000, jika sabit kesalahan.

Malah, dia juga boleh hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang tujuh tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Syuhada Rosli yang mengendalikan kes mencadangkan jaminan RM15,000 ke atas tertuduh dengan beberapa syarat tambahan.

“Jaminan tinggi itu mengambil kira faktor keseriusan kesalahan yang menyebabkan kecederaan kepada mangsa. Tertuduh juga perlu kena menyerahkan lesen memandu kepada mahkamah sehingga kes selesai,” katanya.

Peguam yang mewakil tertuduh, Ethan Tan kemudian memohon jaminan minimum kerana anak guamnya mempunyai tanggungan dua ibu bapanya yang tua dan tiada pendapatan.

“Tertuduh bekerja sebagai pembantu event planner secara sambilan dengan berpendapatan antara RM1,800 hingga RM2,000 sebulan. Sebagai penanggung tunggal keluarga, dia menjaga ibunya yang menghidap penyakit kencing manis dan bapanya pula pesakit kanser,” balasnya.

Bagaimanapun, Majistret A. Karthiyayini membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, digantung lesen memandu dan perlu melaporkan diri dua kali pada setiap bulan di balai polis.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 Julai depan.

Khamis lalu, Utusan Malaysia melaporkan seorang penunggang motosikal bertarung nyawa selepas dirempuh seorang pemandu mabuk yang memandu di laluan bertentangan dekat Persiaran Kota.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, mangsa seorang lelaki tempatan berusia 20-an dikatakan dalam perjalanan dari arah Pelabuhan Klang menghala ke Shah Alam sebelum dirempuh sebuah kereta Perodua Bezza yang memandu secara songsang sejauh kira-kira 3.5 kilometer (km). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN