Pengarah guna dokumen palsu didenda

Pengarah guna dokumen palsu didenda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana mengemukakan penyata bank palsu dalam permohonan mendapatkan lesen kenderaan perdagangan.

Hakim Suzana Hussin mengenakan denda tersebut selepas tertuduh, Loh Jui Chew, 38, mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda itu. Tertuduh membayar denda terbabit.

Mengikut pertuduhan, Jui Chew didakwa menggunakan penyata Maybank palsu di Pejabat Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di sini pada 15 Sept 2022.

Pertuduhan pilihan itu dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Menurut fakta kes, tertuduh yang merupakan pemilik Syarikat JC Tech Advance Auto Sdn. Bhd. yang menjalankan perniagaan perkhidmatan pengurusan berkaitan dengan APAD, Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

Pada 10 Ogos 2022, seorang lelaki telah berjumpa tertuduh di pejabat tertuduh di Melaka bagi memaklumkan hasratnya untuk memohon lesen kenderaan perdagangan untuk syarikatnya.

Sekitar Ogos 2022 hingga September 2022, Jui Chew telah memalsukan penyata akaun Maybank milik mangsa sebelum dokumen-dokumen permohonan itu termasuk penyata akaun bank tersebut diserahkan kepada pegawai kaunter semakan APAD Wilayah Tengah dan hasil semakan mendapati kesemua dokumen itu telah dilengkapkan dan menepati syarat-syarat permohonan.

Pada 21 September 2022, Jawatankuasa Perlesenan APAD telah meluluskan permohonan surat tawaran lesen kenderaan perdagangan yang dipohon Jui Chew tanpa menyedari telah diperdaya dengan dokumen palsu tersebut.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Elyza Amira Habeeb Rahman memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran dikenakan kepada tertuduh.

“Saya juga mohon mahkamah mengambil kira tertuduh telah memperdaya sebuah agensi kerajaan dengan menggunakan dokumen palsu untuk faedahnya,” katanya.

Peguam Alvin Tan Keng Yi yang mewakili Jui Chew memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kepada tertuduh kerana anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×