GEORGE TOWN: Dua beranak yang menjadi pengarah sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan pembuatan dan pemasaran barangan sembahyang, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 18 pertuduhan iaitu gagal membuat bayaran cukai jualan mengikut tempoh masa ditetapkan.
V. Moganadass, 45 dan ibunya, S. Saroja Devi, 65, selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa gagal membuat pembayaran cukai jualan berjumlah RM16,145 itu dari tempoh bercukai bermula 1 Mac 2021 sehingga 31 Disember 2024.
Bagaimanapun, kedua-dua mereka yang juga merupakan pengarah KVS Industries Sdn. Bhd. mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kesemua 18 pertuduhan itu dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Mengikut kesemua pertuduhan, Moganadass dan Saroja Devi didakwa di bawah Seksyen 26(9) Akta Cukai Jualan 2018 kerana melanggar Seksyen 26(5) akta yang sama kerana gagal membuat bayaran cukai jualan mengikut tempoh masa yang ditetapkan yang melibatkan 18 tempoh bercukai dengan tunggakan keseluruhan cukai jualan dan penalti sebanyak RM16,145.
Sehubungan itu, jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 26(9) Akta Cukai Jualan 2018 yang memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Cawangan Penguatkuasaan Pendaftaran dan Pengurusan Hasil, Kompleks Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Seberang Jaya.
Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa JKDM, D.Karthy Gasedev manakala kedua-dua OKS pula tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 18 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan serahan dokumen dan lantikan peguam. – UTUSAN










