PETALING JAYA: Seramai 14,332 pengarah syarikat telah dihalang daripada keluar negara ekoran kegagalan membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja mereka sehingga Disember 2025.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Sazaliza Zainuddin berkata, pihaknya juga telah memfailkan 3,530 saman sivil dan mengambil 6,011 tindakan
jenayah terhadap pengarah syarikat serta majikan yang gagal menunaikan caruman KWSP pekerja.
“Semua majikan wajib menunaikan caruman pekerja mengikut Seksyen 43(1) Akta KWSP.
“Majikan yang gagal memenuhi kewajipan yang ditetapkan untuk membayar caruman KWSP boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan, termasuk prosiding sivil, pendakwaan jenayah dan sekatan perjalanan ke luar negara.” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sazaliza berkata, pihak KWSP sentiasa memantau majikan bagi memastikan caruman dibayar dengan tepat dan pada masanya.
Katanya, ia penting bukan sahaja dalam melindungi hak pekerja, tetapi bagi memastikan simpanan persaraan mereka terus berkembang dan menyediakan asas yang kukuh untuk kesejahteraan kewangan jangka panjang.
Sementara itu, Sazaliza berkata, KWSP telah menyelesaikan 8,868 kes tunggakan caruman daripada 21,029 aduan pekerja yang diterima dalam tempoh yang sama, manakala 12,161 kes masih dalam siasatan sebelum dikenakan tindakan undang-undang.
Setiap aduan yang diterima akan disiasat dan tindakan sewajarnya akan diambil bagi memastikan hak ahli sebagai pekerja sentiasa dilindungi.
“KWSP akan terus mempergiat usaha penguatkuasaan bagi memastikan majikan memenuhi kewajipan yang ditetapkan terhadap mereka.
“Majikan yang gagal berbuat demikian boleh dikenakan tindakan tegas bagi melindungi simpanan persaraan ahli yang terus menjadi keutamaan kami,” ujarnya. – UTUSAN










