PN terkubur tidak beri kesan kepada Pas, fokus kerjasama UMNO - Hashim - Utusan Malaysia

PN terkubur tidak beri kesan kepada Pas, fokus kerjasama UMNO – Hashim

HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pembatalan Perikatan Nasional (PN) tidak memberi kesan atau merugikan Pas sebaliknya membuka lebih ruang kepada parti itu untuk terus fokus bekerjasama dengan UMNO.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, dalam soal pembatalan tersebut, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang paling terjejas berikutan mereka selama ini hanya bergantung kepada kekuatan Pas di dalam PN.

Katanya, Pas akan memberi tumpuan dan fokus kerjasama dengan UMNO termasuk parti-parti lain sekiranya gabungan baharu dibentuk.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pembatalan PN tidak akan memberi kesan kepada Pas berbanding Bersatu yang bakal menerima kesan cukup besar. Pas boleh memberi tumpuan terhadap kerjasama dengan UMNO yang sememangnya dinantikan oleh rakyat.

“Gabungan atau kerjasama Pas dengan UMNO bakal memberi kelebihan besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Pas bergabung dengan UMNO, lebih senang nak mencapai kemenangan dalam PRU16 dan tidak perlu lagi bersusah-payah berkempen,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, konflik antara Pas dengan Bersatu memasuki episod baharu selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) membatalkan pendaftaran PN.

PN yang kini berusia kira-kira enam tahun sejak didaftarkan pada 7 Ogos 2020 berkubur
selepas 10 bulan Pas menerajui gabungan itu.

Bagi Bersatu, mereka melihat pembatalan PN sebagai cerminan kegagalan Pas mengurus berlandaskan prinsip demokrasi, ketelusan dan tadbir urus yang baik, selain cuba mengambil alih gabungan itu sehingga mengetepikan hak parti komponen.

Pas pula menyatakan ia sebagai usaha mendahului pertimbangan mahkamah dan me­lemahkan lawan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Hashim berkata, kepemimpinan Pas pusat diberi tanggungjawab untuk terus berunding dengan UMNO, sekali gus merealiasikan perpaduan dua parti terbesar orang Melayu Islam itu.

Katanya, Majlis Syura Ulama sebelum ini juga telah menyatakan ketetapan memberi ruang kepada pusat berunding dengan mana-mana parti politik dengan keutamaan kepada UMNO.

“Perpaduan Pas dan UMNO jika berjaya direalisasikan bakal memberi banyak faedah kepada kepentingan rakyat di negara ini.

“Secara dasarnya, kerjasama Pas UMNO juga lebih menguntungkan dan memberi kesan cukup besar kepada lanskap politik di negara ini.

“Kita juga membuka ruang kepada parti-parti lain namun jika terus bertelagah seperti Bersatu sebelum ini, adalah lebih baik fokus kepada kerjasama dengan UMNO sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Hashim berkata, Pas juga selesa untuk terus mengekalkan kerjasama dengan Parti Wawasan Negara (Wawasan) pimpinan Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Pas menilai parti Hamzah ini lebih sesuai untuk bekerjasama berbanding Bersatu. Pas juga boleh menerima peranan atau pendekatan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini