PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan kemudahan Zakat Perniagaan Simpanan Shariah bagi memudahkan ahli beragama Islam menunaikan kewajipan zakat tahunan melalui potongan terus daripada dividen simpanan syariah.
Menerusi kemudahan itu, KWSP akan bertindak sebagai wakil untuk menguruskan pengiraan dan pembayaran zakat bagi pihak ahli yang memilih kemudahan berkenaan, dengan bayaran disalurkan kepada pihak berkuasa zakat negeri berdasarkan negeri tempat ahli bekerja.
KWSP berkata, potongan zakat akan dibuat daripada dividen tahunan simpanan syariah selepas dividen diisytiharkan.
“Ahli beragama Islam yang tidak memilih kemudahan itu masih boleh menunaikan zakat secara individu, manakala ahli bukan Islam tidak tertakluk kepada kewajipan berkenaan.
“Pengenalan kemudahan itu selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-125 yang menetapkan bahawa simpanan syariah tertakluk kepada kewajipan zakat tahunan.
“Keputusan itu mengambil kira ciri pemilikan sempurna simpanan berkenaan serta hak pencarum untuk berurusan dengan KWSP melalui akad wakalah. Muzakarah turut memutuskan bahawa zakat yang dikenakan ialah zakat perniagaan dan KWSP boleh menguruskan pembayarannya bagi pihak pencarum,” katanya dalam kenyataan.
Menurut KWSP, pengiraan zakat akan dibuat secara kolektif atau khultah pada setiap akhir tahun kewangan, iaitu 31 Disember, menggunakan kaedah modal kerja terlaras.
“Asas zakat simpanan syariah akan dikenakan kadar sebanyak 2.577 peratus, manakala tanggungan zakat perniagaan dibahagikan kepada ahli beragama Islam secara pro-rata berdasarkan kadar zakat ahli yang ditentukan mengikut jumlah agihan dividen tahunan masing-masing.
“Jumlah zakat bagi ahli yang memilih kemudahan itu akan dipotong daripada dividen tahunan Simpanan Shariah selepas pengisytiharan dividen dibuat,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pengenalan kemudahan itu merupakan penambahbaikan kepada simpanan syariah dengan menyediakan kaedah lebih mudah untuk ahli menunaikan kewajipan zakat ke atas simpanan persaraan mereka.
“Bagi ahli yang memilih kemudahan ini, KWSP menguruskan proses pengiraan dan pembayaran zakat, sekali gus memudahkan urusan menunaikan kewajipan zakat tahunan.
“Ini membolehkan ahli menumpukan perhatian kepada usaha membina simpanan persaraan mereka.
“Pada masa sama, kemudahan ini mencerminkan komitmen kami untuk terus memperkukuh penawaran simpanan syariah dengan memastikan kemudahan yang disediakan selaras dengan tadbir urus Syariah serta memenuhi keperluan ahli,” katanya.
KWSP berkata, kemudahan itu menyediakan pendekatan menyeluruh bagi pengurusan zakat simpanan syariah, termasuk bagi simpanan yang telah layak dikeluarkan.
“Simpanan yang telah layak untuk pengeluaran, termasuk simpanan dalam Akaun Fleksibel, tidak memerlukan pembayaran zakat berasingan oleh ahli di bawah kemudahan Zakat Perniagaan Simpanan Shariah.
“Pendekatan itu dijangka memudahkan urusan ahli yang memilih kemudahan berkenaan kerana mereka tidak perlu menentukan sendiri kaedah dan jumlah zakat bagi simpanan KWSP secara berasingan.
“Ahli simpanan syariah beragama Islam yang ingin menggunakan kemudahan itu boleh membuat pilihan menerusi KWSP i-Akaun (Ahli), terminal layan diri (Self-Service Terminal atau SST) atau di pejabat KWSP di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN











