MELAKA: Malaysia perlu keluar daripada sistem politik sedia ada dengan segera, tanpa perlu menamatkan darurat bagi membolehkan pentadbiran negara terus berjalan lancar tanpa gangguan politik.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, pakar undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berpandangan, badan eksekutif yang ada kini perlu ‘dilumpuhkan’ dahulu dan meletakkan urus tadbir negara di bawah satu jawatankuasa penasihat.
Beliau berkata, darurat perlu dikekalkan kerana Malaysia sedang berdepan penularan pandemik Covid-19, tetapi pada masa wujud darurat politik yang tidak terlihat secara zahir.
“Jawatan Perdana Menteri dan barisan Kabinet perlu dihapuskan. Letakkan kuasa urus tadbir negara pada pihak yang lebih arif supaya kita boleh keluar daripada kemelut ini secepat mungkin.
“Kita kena bertindak bersandarkan kepada Perlembagaan Persekutuan supaya masalah ekonomi, kesihatan, sosial dan politik dapat diselesaikan segera. Jalan penyelesaian sudah ada, cuma kita berani atau tidak untuk melaksanakannya,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini mencadangkan penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran) sebagai langkah terbaik dalam menguruskan masalah yang dihadapi negara, namun mendapat bantahan pelbagai pihak.
Tambah Mohamed Haniff, pihak yang menentang cadangan tersebut sebenarnya bimbang sekiranya mereka kehilangan kuasa.
Jelasnya, ketaksuban terhadap parti politik selain meletakkan kepentingan diri melebihi negara tidak akan mampu memulihkan Malaysia.
“Wakil-wakil rakyat kita sebenarnya masih tidak matang dan banyak bermain politik berbanding menjaga kebajikan rakyat. Kalau ini berterusan, rakyat yang sengsara,” jelasnya.
Mengenai sidang Parlimen, peguam itu menegaskan, persidangan itu tidak mampu menyelesaikan masalah kerana kerajaan memerintah tidak mempunyai majoriti kukuh. -UTUSANKekal darurat, hanya ganti sementara badan eksekutif










