Banjir besar, Missouri diisytihar darurat - Utusan Malaysia

Banjir besar, Missouri diisytihar darurat

BANJIR berlaku di Missouri selepas hujan lebat luar biasa. - Peronda Lebuh Raya Missouri/Facebook
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Keadaan darurat telah diisytiharkan di beberapa kawasan di Missouri selepas hujan lebat luar biasa yang disifatkan oleh pakar kaji cuaca sebagai fenomena sekali dalam seribu tahun menyebabkan paras air sungai melonjak ke tahap kritikal.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) telah mengeluarkan amaran kecemasan banjir kilat kepada ribuan penduduk. Menurut pejabat Syerif Daerah Reynolds, pasukan penyelamat setakat ini telah berjaya melaksanakan lebih d90 operasi menyelamat mangsa banjir.

Ribut petir berterusan dilaporkan menurunkan taburan hujan antara enam hingga 30.48 sentimeter berhampiran Sungai Black di tenggara Missouri menyebabkan jalan raya, kawasan perkhemahan dan kawasan penempatan penduduk ditenggelami air.

Pihak berkuasa memberi amaran bahawa bahaya masih belum berakhir pada petang Jumaat memandangkan paras air sungai terus meningkat. Sungai tersebut dilaporkan mencecah paras tertinggi dalam sejarah iaitu 8.74 meter pada Jumaat.

Sekurang-kurangnya seorang wanita muda dilaporkan masih hilang selepas rumahnya diha­nyutkan oleh arus deras. Mang­sa, Faith Gregory, 23, hilang bersama kediamannya di Davisville selepas lonjakan air banjir memusnahkan rumah berkenaan pada jam 3.30 pagi waktu tempatan pada Jumaat di tenggara Daerah Crawford.

“Banjir kali ini sangat teruk, ribut pula begitu kuat. Sesiapa sahaja yang tinggal di kawasan Cherryville dan Davisville, tolong periksa kawasan anak su­ngai dan laungkan namanya. Tolong bantu saya cari adik saya!” kata Kayla Dawn, kakak mangsa menerusi rayuan hiba di laman Facebook.

Sebelum kejadian, mangsa bersama kekasihnya, Logan Ouseley, dilaporkan cuba menyelamatkan diri menggunakan sebuah kayak. Bagaimanapun, hanya Ouseley yang berjaya keluar dari arus deras, manakala Gregory bersama haiwan peliharaan mereka dihanyutkan air.

Dalam satu lagi kejadian berasingan yang mencemaskan, kira-kira 20 orang terpaksa di­selamatkan selepas sebuah bangunan di kawasan perkhemahan Bearcat Getaway berhampiran Sungai Black runtuh menyebabkan kumpulan perkhemah itu terjatuh ke dalam arus sungai yang deras.

Sarjan Polis Peronda Lebuh­raya Negeri Missouri, Eddie Young mengesahkan bahawa kumpulan tersebut telah memanjat struktur bangunan itu sebelum ia runtuh. Ia sekali gus memaksa pasukan penyelamat bertindak pantas untuk menge­luarkan mereka daripada bahaya.

Cuaca ekstrem ini turut membahayakan nyawa anggota penyelamat sendiri. Dalam satu misi menyelamat, sebuah bot milik Polis Peronda Lebuh Raya Negeri Missouri telah tersangkut pada tali yang tenggelam di dalam air. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN