Tiga rakyat Malaysia bukan suspek kes bakar bayi di Songkhla

Tiga rakyat Malaysia bukan suspek kes bakar bayi di Songkhla

Utusan Online 12 Jun 2026
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SONGKHLA: Tiga rakyat Malaysia termasuk seorang wanita yang ditahan polis Thailand bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi dibakar di sebuah krematorium di Daerah Mueang di sini, dibebaskan selepas didapati tidak terlibat dalam kejadian tersebut.

Ketiga-tiga mereka yang berusia dalam lingkungan 30-an hingga 40-an ditahan di Pusat Pemeriksaan Kastam dan Imigresen Sadao kira-kira pukul 5.30 petang kelmarin selepas siasatan awal mendapati kenderaan yang mereka naiki berada di sekitar lokasi kejadian.

Jurucakap Balai Polis Mueang berkata, hasil soal siasat dan siasatan lanjut mendapati mereka tidak mempunyai kaitan dengan kes berkenaan sebelum dibenarkan pulang ke Malaysia.

Katanya, penahanan itu dibuat susulan laporan mengenai kehadiran dua kenderaan termasuk sebuah Toyota Alphard bernombor pendaftaran Malaysia bersama sekurang-kurangnya lapan individu di kawasan Koh Yorwa sebelum memasuki Wat Thai Yo pada awal pagi 8 Jun lalu.

“Berkaitan kenderaan Malaysia yang dikatakan memasuki krematorium berkenaan ia berpandukan kepada puntung rokok yang ditemukan di sekitar krematorium. Kita dapati bahawa rokok itu adalah jenama yang biasa dihisap oleh rakyat Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jurucakap itu berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan untuk mengesan kenderaan terbabit di sekitar bandar utama di Selatan Thai.

Semalam, akhbar ini melaporkan, tiga rakyat Malaysia termasuk seorang wanita ditahan pihak berkuasa Thailand bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi yang dibakar di krematorium dekat sebuah kuil di Koh Yorwa, Daerah Mueang, Isnin lalu.

Ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 30-an hingga 40-an itu ditahan di Pusat Pemeriksaan Kastam dan Imigresen Sa­dao kira-kira pukul 5.30 petang kelmarin, semasa cuba melintasi sempadan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN