SYDNEY: Seorang ahli parlimen bebas Australia yang dirempuh sebuah kereta dalam serangan yang disengajakan telah kehilangan sebelah kakinya, menurut laporan media tempatan yang memetik sumber pada Selasa.
Helen Haines menjalani pembedahan sepanjang malam, dengan penyiar kebangsaan ABC dan akhbar Sydney Morning Herald melaporkan beliau kehilangan sebelah kakinya.
Perdana Menteri, Anthony Albanese berkata pada Selasa. Haines kemudian menjalani pembedahan malam tadi tetapi masih dalam keadaan kritikal selepas sengaja dirempuh sebuah kereta dalam satu serangan.
Keganasan politik jarang berlaku di Australia.
Namun, pihak penguat kuasa undang-undang merekodkan peningkatan berterusan dalam ancaman dan gangguan terhadap wakil rakyat negara itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Albanese menggesa orang ramai memberikan sokongan kepada Haines, yang mendapat pujian meluas atas usahanya meningkatkan ketelusan dalam politik dan membanteras rasuah.
Haines dirempuh sebuah Toyota Land Cruiser di luar pejabatnya di bandar Wangaratta, kira-kira 200 kilometer di timur laut Melbourne, pada kira-kira 3.35 petang waktu tempatan Isnin.
Saksi memberitahu penyiar nasional ABC bahawa mereka terdengar bunyi dentuman dan melihat seorang wanita tersepit di antara dua buah kereta.
Albanese berkata, Haines sedang mengambil barang dari but keretanya ketika serangan itu berlaku.
Pemandu berkenaan membuat pusingan U untuk kembali ke arahnya selepas melepasi mangsa, tambah beliau.
“Jelas bahawa ini merupakan perbuatan yang disengajakan,” kata Albanes.
Wanita berusia 65 tahun itu mengalami kecederaan parah.
Beliau menjalani pembedahan malam tadi di Hospital Alfred di Melbourne.
“Helen masih dirawat di hospital dalam keadaan kritikal. Saya bercakap dengan suaminya, Phil, malam tadi dan beliau menjalani pembedahan pada malam yang sama,” kata Albanese kepada rancangan sarapan pagi Sunrise pada Selasa.
“Seluruh rakyat Australia mendoakan keluarganya, ramai rakannya serta masyarakat yang diwakilinya,” tambah beliau.
Pemandu lelaki berusia 43 tahun itu ditahan oleh seorang tukang gunting rambut tempatan, Ricky Jefferies, yang kini mendapat pujian meluas sebagai seorang wira.
Pemandu itu kemudian ditahan polis, yang menemui sebilah pisau di dalam keretanya.
Media Australia melaporkan bahawa lelaki itu sudah dikenali polis dan namanya ialah Brendan Nugent.
Siasatan masih dijalankan dan beliau kekal dalam tahanan pada pagi Selasa. – AFP











