PETALING JAYA: Insiden letupan kompresor penyaman udara di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara dipercayai berpunca daripada peningkatan tekanan gas di dalam sistem perkakas elektrik tersebut.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Nor Hisham Mohamad berkata, siasatan mendapati sumber letupan tercetus daripada hasil peningkatan tekanan gas iaitu R22 di dalam sistem kompresor penyaman udara terbabit.
“Pasukan forensik bomba telah selesai menjalankan siasatan.
“Hasil siasatan forensik mendapati ia berlaku akibat sistem kawalan suis tekanan yang tidak berfungsi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Isnin lalu media melaporkan seorang kontraktor maut manakala sembilan mangsa cedera dalam insiden letupan di sebuah univeriti swasta di Jalan Semantan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, kesemua mangsa terdiri daripada enam lelaki dan empat wanita
Menurutnya, mangsa maut membabitkan lelaki tempatan berusia 24 tahun.
“Dua kontraktor lelaki tempatan parah, empat pelajar dan seorang juruteknik cedera manakala dua pekerja kantin warga Indonesia cedera ringan,” katanya.
Fadil berkata, kejadian pada pukul 11.40 pagi membabitkan letupan kompresor penyaman udara di kawasan penyelenggaraan yang terletak bersebelahan kafeteria di tingkat empat bangunan universiti berkenaan.
Katanya, sebelum kejadian, pihak pengurusan universiti telah memanggil juruteknik berikutan terdapat masalah teknikal dan keperluan pembaikan namun kerja membaiki peralatan berkenaan belum sempat dilaksanakan. – UTUSAN










