PETALING JAYA: Dua mangsa yang cedera dalam insiden letupan sistem penyaman udara di Universiti HELP kampus Bukit Damansara layak menerima Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Dua mangsa terbabit iaitu Teh Wee Leon, 32 dan Liew Yeng Chen, 55, disahkan layak menerima faedah kerana mencarum di bawah skim LINDUNG Pekerja.
Perkeso dalam satu kenyataan berkata, bantuan kepada mangsa itu digerakkan melalui Skuad Perkeso Prihatin.
“Sebaik mengetahui kes ini, anggota Perkeso bergegas ke hospital untuk mendapatkan maklumat tambahan mangsa. Semakan mendapati, Teh Wee Leon, seorang pensyarah dan kontraktor, Liew Yeng Chen disahkan akan menerima FHUS.
“Selain itu, Perkeso juga akan meneliti faedah-faedah lain yang boleh diberikan kepada mangsa,” katanya hari ini.
Isnin lalu, media melaporkan seorang penuntut Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Soo Yu Juan, 24, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), manakala sembilan yang lain cedera.
Letupan itu dipercayai berlaku di kawasan penyelenggaraan penyaman udara yang terletak bersebelahan kafeteria di tingkat empat universiti berkenaan.
Perkeso dalam kenyataan sama berharap bantuan disalurkan itu sekurang-kurangnya berupaya meringankan beban mangsa serta keluarga mereka.
Dalam pada itu, Perkeso memaklumkan, pihaknya akan melakukan semakan lanjut susulan hasil semakan mendapati tiga daripada mangsa yang cedera, iaitu kontraktor penyelenggaraan dan pekerja kantin tidak mencarum dengan pihaknya.
“Siasatan terperinci akan dijalankan ke atas majikan bagi mengenal pasti punca mereka tidak mencarum ke atas mangsa yang terbabit (kecuali pelajar).
“Pada masa sama, Perkeso akan menyalurkan kes ini kepada agensi lain yang berkaitan bagi memastikan bantuan bersesuaian disampaikan kepada semua mangsa,” katanya. – UTUSAN










