PARLIMEN: 70,240 individu dalam fasa transisi kerjaya

PARLIMEN: 70,240 individu dalam fasa transisi kerjaya

R. RAMANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 70,240 individu direkodkan dalam fasa transisi kerjaya sepanjang tempoh Januari hingga 25 September tahun ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Berdasarkan statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, seramai 34,800 atau 49.54 peratus daripada jumlah itu adalah individu yang berkelayakan diploma dan ke atas.

“Sektor pembuatan merekodkan jumlah transisi kerjaya tertinggi, iaitu seramai 13,052 pekerja atau 18.58 peratus.

“Ini diikuti sektor perdagangan borong dan runcit dengan seramai 12,910 pekerja (18.38 peratus), manakala sektor pembinaan pula 7,215 orang (10.27 peratus),” katanya dalam jawapan bertulis di dalam laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) mengenai jumlah terkini kehilangan pekerjaan tahun ini.

Beliau juga meminta menteri menjelaskan sektor paling terjejas dan keberkesanan laman web MyFutureJobs menempatkan semula pekerja mahir yang diberhentikan akibat penutupan serta pengecilan syarikat.

Ramanan memaklumkan, seramai 15,980 pekerja atau 22.75 peratus daripada mereka yang berada dalam proses transisi kerjaya itu berjaya ditempatkan semula dalam pekerjaan.

“Daripada jumlah itu, seramai 7,725 adalah pekerja mahir yang mempunyai kelayakan diploma dan ke atas sudah kembali semula bekerja atau pada kadar 48.34 peratus,” katanya.

Katanya, pihaknya dan Perkeso mengambil langkah proaktif dalam memastikan pekerja dalam transisi kerjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh singkat.

“Secara purata, tempoh penempatan semula pekerjaan adalah sekitar tiga bulan

“Sebagai galakan, Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) akan diberi kepada mereka dengan kadar bayaran sebanyak 25 peratus daripada baki Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) yang masih belum dibayar dan dibayar secara pukal.

“Namun, bermula 1 Oktober 2026, kadar bayaran baki EMP telah dinaikkan daripada 25 peratus kepada 50 peratus selaras Pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan dan Perkhidmatan Pekerjaan 2026,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN