PETALING JAYA: Institut Jurutera Malaysia (IEM) bersedia menawarkan khidmat nasihat serta kepakaran teknikal bagi membantu pihak berkuasa mengenal pasti punca sebenar insiden letupan yang berlaku di HELP University di Bukit Damansara, 12 Januari lalu.
Presidennya, Ir. Prof. Dr. Jeffrey Chiang Choong Luin berkata, IEM turut menggesa semua jurutera, pemilik bangunan, pengurus tapak serta mana-mana pihak berkepentingan agar menjadikan tragedi berkenaan sebagai peringatan serius untuk menilai semula sistem pengurusan keselamatan, khususnya di tempat kerja.
Menurut beliau, setakat ini IEM masih belum memperoleh akses kepada butiran teknikal peralatan yang terlibat termasuk rekod penyelenggaraan berkaitan.
“Salah satu risiko dalam sistem penyejukan dan penyaman udara moden adalah berkaitan penggunaan kelas bahan penyejuk baharu yang mungkin mempunyai ciri mudah terbakar atau bertoksik, bergantung kepada pengelasan dan aplikasinya.
“Bagaimanapun, risiko tersebut perlu dinilai dan disahkan melalui siasatan rasmi sebelum sebarang kesimpulan muktamad dapat dibuat,” katanya.
Jeffrey berkata, penggunaan bahan penyejuk baharu diperkenalkan susulan bahan penyejuk terdahulu seperti klorofluorokarbon (CFC) dan hidroklorofluorokarbon (HCFC) yang telah dihadkan secara berperingkat berikutan kesannya terhadap alam sekitar.
“Namun, penggunaan bahan penyejuk generasi baharu menuntut pemasangan dan penyelenggaraan yang khusus,” katanya.
Beliau berkata, IEM merupakan antara ahli penyumbang dalam jawatankuasa kerja yang bertanggungjawab membangunkan Piawaian Malaysia MS 2678:2017 Sistem Bahan Penyejuk Mudah Terbakar – Kod Amalan, serta Piawaian Malaysia MS 1525:2019 Kecekapan Tenaga dan Penggunaan Tenaga Boleh Baharu bagi Bangunan Bukan Kediaman – Kod Amalan.
Mengulas lanjut, Jeffrey berkata, berdasarkan imej kejadian yang tersebar, terdapat kerosakan struktur yang jelas termasuk runtuhan dinding bata dan siling.
“Piawaian MS 2678 dan MS 1525 menyediakan panduan kejuruteraan berkaitan keperluan bilik jentera, termasuk penentuan lokasi yang sesuai, pemasangan elektrik, kawalan sumber pencucuhan, penyediaan pengudaraan, penggera serta pengesan keselamatan, notis dan rejim pemeriksaan.
“Sekiranya dikenal pasti risiko letupan, bilik jentera hendaklah ditempatkan jauh daripada kawasan berpenghuni bersebelahan,” katanya. – UTUSAN










