PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya di Kelantan diarahkan mengambil tindakan tegas dengan merobohkan pangkalan haram serta menutup laluan tidak sah sepanjang sempadan negara bagi mengekang sebarang ancaman luar.
Kementerian Dalam Negeri berkata, matlamat utama pendekatan bersepadu ini adalah untuk menyekat sebarang pergerakan elemen dan rangkaian sokongan pihak tertentu serta menghalang Malaysia daripada dieksploitasi sebagai laluan transit, tempat perlindungan atau pangkalan sokongan yang berpotensi menjejaskan usaha rundingan damai dan kestabilan serantau.
Katanya, PDRM akan terus melaksanakan pemantauan rapi, penguatkuasaan undang-undang yang berterusan serta kawalan kemasukan dan tindakan pencegahan bagi mengekang kemasukan secara tidak sah mana-mana individu atau kumpulan yang mempunyai kaitan dengan aktiviti keganasan di selatan Thailand.
“Sebagai langkah pencegahan yang proaktif, PDRM khususnya di negeri Kelantan telah mengambil tindakan segera merobohkan pangkalan haram dan menutup laluan-laluan tidak sah di sepanjang sempadan.
“Selain itu, rondaan bersama secara berterusan dengan agensi keselamatan turut dilaksanakan dan dipertingkatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kementerian itu berkata, usaha berkenaan turut diperkukuhkan melalui pengumpulan dan perkongsian risikan keselamatan di peringkat serantau, termasuk menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pemantapan Kawalan Sempadan Negara (JKPKSN) yang berperanan sebagai mekanisme penyelarasan antara kementerian dan agensi berkaitan.
“Kementerian Dalam Negeri akan memastikan keselamatan sempadan negara sentiasa terpelihara dan kekal siap siaga dalam menghadapi sebarang ancaman luar yang boleh menggugat kedaulatan serta kesejahteraan rakyat,” katanya. – UTUSAN










