PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan membuat provokasi apabila enggan memberi kerjasama kepada juruiring dalam kejadian di Lebuhraya Kuala Lumpur – Seremban, semalam.
Difahamkan kejadian berlaku pada pukul 6.39 pagi apabila suspek berusia 41 tahun dipercayai enggan memberikan kerjasama kepada juruiring tersebut.
Turut difahamkan berlaku sedikit provokasi dan pemeriksaan dijalankan mendapati suspek memandu di bawah pengaruh alkohol.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, hasil ujian pernafasan mendapati bacaan alkohol adalah 107 mg/100 ml darah, melebihi had dibenarkan undang-undang.
Justeru, suspek ditahan oleh pihak JSPT Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.
Ditanya mengenai dakwaan berlaku provokasi ketika kejadian, beliau berkata, ia diselesaikan dengan cara baik.
“Mungkin ada sedikit provokasi tetapi dapat diselesaikan dengan cara baik dan dibawa Balai Polis Trafik KL utk tindakan selanjutnya termasuk ujian menggunakan mesin Evidential Breath Analyzer (EBA) untuk mengesahkan alkohol dalam badan.
“Kita akan merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) bagi mendapatkan arahan lanjut dan pertuduhan akan dijalankan pada hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987 (memandu di bawah pengaruh alkohol). – UTUSAN










