KAJANG: Polis menahan tiga individu termasuk pasangan kekasih selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dalam serbuan secara berasingan di daerah ini dan Petaling Jaya dekat sini pada 21 Ogos lalu.
Dalam dua serbuan berasingan itu, pelbagai dadah dianggarkan bernilai RM757,760 dirampas.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah di daerah ini pada pukul 5 petang dan menahan wanita berusia 34 tahun, tidak bekerja bersama pasangannya, berusia 32 tahun yang bekerja sendiri.
“Pemeriksaan di rumah tersebut menemukan empat bungkusan dadah jenis ganja dengan anggaran berat 364 gram bernilai kira-kira RM700.
“Serbuan itu membawa kepada satu lagi penahanan seorang lelaki berusia 34 tahun pada 9 malam hari sama yang menaiki kereta Perodua Myvi serta menemukan tiga bungkusan ganja dengan berat keseluruhan 235 gram bernilai RM500,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Kajang di sini, hari ini.
Menurutnya, hasil soal siasat terhadap suspek kemudian membawa polis ke sebuah rumah di Petaling Jaya yang dipercayai dijadikan lokasi simpanan bekalan dadah.
Beliau berkata, tindakan lanjut bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya menemukan rampasan besar melibatkan 22.2 kilogram ganja, 3.35 kilogram pil ekstasi, 267 gram serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) dan 34 gram ketamin.
Katanya, siasatan mendapati pasangan kekasih itu dipercayai berperanan sebagai tokan manakala suspek ketiga adalah pengedar dadah.
“Saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif tetrahydrocannabinol (THC), semakan rekod mendapati mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
“Semua suspek ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Beliau berkata, rampasan keseluruhan dadah dianggarkan bernilai RM757,760 dan polis turut menyita kereta Perodua Axia dan wang tunai RM3,843.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah diminta menyalurkannya melalui Hotline JSJN di talian 012-208 7222. – UTUSAN









