PETALING JAYA: Sebuah flat haram yang dijadikan kediaman pelarian Rohingya di Kampung Kenangan, Hulu Langat, yang pernah diserbu pihak berkuasa pada Januari lalu, diserbu sekali lagi semalam.
Dalam serbuan secara bersepadu itu, seramai 45 warga asing ditahan terdiri daripada 35 lelaki dan tiga wanita serta empat kanak-kanak.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kesemua tangkapan disiasat oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di bawah Seksyen 51(3)(a) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) akta yang sama.
“Seorang lelaki tempatan yang mengaku anak pemilik rumah turut dikenakan tindakan dan Satu Borang IMM 29 (Saman Kepada Saksi) dan satu Borang Geledah Seksyen 51(1) Akta Imigresen 1959/63 dikeluarkan kepada lelaki berkenaan di lokasi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, tular video di media sosial yang dimuat naik seorang selebriti tempatan itu memaparkan sebuah premis bertingkat dikatakan dibina secara haram berdasarkan struktur luaran yang tidak ‘siap’ dan bahagian koridor sekadar ditutup menggunakan zink.
Sementara itu pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) ketika dihubungi memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan berkaitan perkara itu dalam masa terdekat. – UTUSAN










