PETALING JAYA: Lelaki warga Palestin yang dilaporkan hilang sejak 23 Mac lalu ditemukan selamat di sekitar Pekan Sungai Besi, di sini, awal pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya mengesahkan Orang Hilang (OH) itu ditemui kira-kira pukul 4 pagi.
Katanya, individu tersebut iaitu Al Baraa Monir Sobhi Alqedra, 22, adalah orang kurang upaya (OKU) yang menghidap Cerebral palsy (lumpuh otak) sejak kecil.
“Untuk makluman, Ibu Polis Daerah (IPD) Kajang mengesahkan pada 4 pagi hari ini telah berjaya menemui semula OH di sekitar Pekan Sungai Besi.
“OH didapati selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan ringkas, hari ini.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu sepanjang usaha pencarian dijalankan.
Media semalam melaporkan, seorang lelaki warga Palestin dilaporkan hilang selepas kali terakhir berada di Rumah Pangsapuri Bukit Mewah, Taman Bukit di sini, sejak 23 Mac lalu.
Naazron dilaporkan berkata, laporan kehilangan Al Baraa Monir Sobhi Alqedra, 22, diterima pada 5.56 petang, 24 Mac lalu.- UTUSAN










