Pengesan kelajuan dipasang di lorong motosikal tahun depan

Pengesan kelajuan dipasang di lorong motosikal tahun depan

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memasang alat pengesan kelajuan di lorong motosikal di lebuh raya tahun depan sebagai langkah meningkatkan keselamatan penunggang motosikal.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, cadangan pemasangan alat berkenaan dikemukakan Ketua Pengarah JKR bagi membantu meningkatkan tahap keselamatan pengguna laluan berkenaan.

“Peringatan kepada pengguna supaya berhati-hati ketika menggunakan lorong motosikal di lebuh raya. Kita sebelum ini telah melaksanakan beberapa program penambahbaikan, termasuk melebarkan lorong motosikal serta memasang lampu bagi meningkatkan tahap pencahayaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Usaha penambahbaikan ini akan diteruskan mengikut kemampuan kewangan yang ada.

“Jadi, cadangan Ketua Pengarah JKR, kita juga akan memasang alat pengesan kelajuan di lorong motosikal bagi membantu meningkatkan keselamatan penunggang motosikal yang menggunakan laluan berkenaan.

“Pemasangan alat pengesan kelajuan itu dijangka dilaksanakan pada tahun depan, iaitu 2027,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis Peluncuran Program Perdana Pembersihan Sistem Perparitan Jalan Persekutuan Seluruh Malaysia Sempena Monsun Timur Laut (MTL) Tahun 2026 di Pejabat Pertanian Daerah Kuala Langat, Telok Datok, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kerajaan turut memanfaatkan teknologi pintar bagi menyokong usaha meningkatkan keselamatan jalan raya seiring perkembangan teknologi semasa.

Katanya, pemasangan alat pengesan kelajuan diperkenalkan dengan menggabungkan teknologi kamera berasaskan kecerdasan buatan (AI), radar dan Internet Benda (IoT) bagi mengesan kelajuan kenderaan.

“Sebanyak 18 lokasi dikenal pasti mulai 2025 dengan melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM955,000.

“Bagi tahun ini, kerajaan memperuntukkan RM33.6 juta untuk pelaksanaan Program Menaik Taraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya yang melibatkan 104 lokasi strategik di Semenanjung Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini