Polis pecat pegawai kanan disyaki intip Prabowo

Polis pecat pegawai kanan disyaki intip Prabowo

PRABOWO SUBIANTO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Polis Indonesia memecat seorang pegawai kanannya selepas didapati terbabit dalam komplot memintas komunikasi telefon Presiden Prabowo Subianto serta beberapa pegawai kerajaan, aktivis dan wartawan tanpa kebenaran.

Jurucakap polis, Trunoyudo Wisnu Andiko, berkata keputusan itu dibuat selepas bekas Inspektor Jeneral Polis, Eko Hadi Santoso, menjalani prosiding pendengaran etika selama hampir sembilan jam berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penggunaan kemudahan polis tanpa waran sah.

Beliau berkata, Eko dikenakan tindakan pemecatan tidak dengan hormat daripada pasukan polis, namun pegawai berkenaan sudah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Trunoyudo, Eko bersubahat dalam kegiatan pintasan komunikasi secara haram dengan menyalahgunakan akses serta peralatan milik polis tanpa mengikut prosedur dan secara tidak profesional.

Reuters melaporkan, Eko ditahan awal November lalu bersama dua lagi pegawai kanan polis yang turut dinamakan sebagai suspek dalam kes berkenaan. Agensi itu setakat ini gagal mendapatkan maklum balas daripada Eko.

Skandal itu terbongkar susulan pendedahan mengenai operasi pintasan telefon secara meluas tanpa kebenaran terhadap Prabowo, beberapa pegawai kanan kerajaan, aktivis dan pengamal media.

Kes berkenaan turut mendedahkan ketegangan politik antara Prabowo dengan bekas Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi, yang masih mempunyai pengaruh besar dalam politik negara itu.

Bekas Ketua Polis Negara, Listyo Sigit Prabowo, yang turut dinamakan sebagai suspek, secara meluas dianggap sebagai sekutu rapat Jokowi. Bagaimanapun, beliau tidak mempunyai sebarang pertalian keluarga dengan Presiden Prabowo.

Sementara itu, seorang lagi pegawai polis, Johnny Eddizon Isir, berkata prosiding pendengaran etika terhadap Listyo dijadualkan berlangsung minggu depan, namun tarikh khusus belum ditetapkan.

Seorang lagi suspek, Ahrie Sonta, yang juga pegawai polis, dipecat minggu lalu selepas prosiding etika terhadapnya selesai.

Perkembangan itu berlaku ketika landskap politik Indonesia terus menjadi perhatian susulan peletakan jawatan anak sulung Jokowi, Gibran Rakabuming Raka, sebagai Naib Presiden pada minggu lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini