Belanjawan 2027: KKR harap peruntukan khas jurutera daerah naik kepada RM300,000 - Utusan Malaysia

Belanjawan 2027: KKR harap peruntukan khas jurutera daerah naik kepada RM300,000

AHMAD MASLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Kementerian Kerja Raya (KKR) berharap agar peruntukan khas kepada setiap jurutera daerah di Jabatan Kerja Raya (JKR) dinaikkan kepada RM300,000 berbanding  RM200,000 setahun dalam Belanjawan 2027.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, penambahan itu penting bagi membolehkan setiap aduan rakyat dapat diselesaikan dengan lebih pantas tanpa perlu melalui prosedur perolehan biasa yang mengambil masa lebih lama.

“Peruntukan ini bermula sejak 2024 yang membolehkan setiap jurutera daerah melaksanakan kerja-kerja segera, antaranya membaiki garisan jalan, longkang, pokok yang perlu dicantas, perabot jalan, isyarat serta papan tanda yang uzur.

“Kalau berlaku kemalangan dan papan tanda atau pengadang jalan rosak, kita boleh terus membaikinya dengan segera melalui peruntukan itu,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Pejabat Jurutera Daerah JKR Daerah Kubang Pasu, di sini hari ini.

Ahmad berkata permohonan itu telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan menerusi dialog Belanjawan 2027 dan pihaknya berharap mendapat pertimbangan sewajarnya.

Beliau berkata, peningkatan jumlah peruntukan itu juga amat penting memandangkan kos penyelenggaraan semakin meningkat, selain keadaan perabot jalan yang semakin berusia dan memerlukan kerja baik pulih serta pengecatan semula.

“Penggunaan peruntukan ini biasanya dibuat berdasarkan penilaian pegawai JKR di daerah masing-masing serta mengambil kira aduan yang diterima daripada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ahmad berharap KKR terus menerima peruntukan pembangunan tertinggi dalam kalangan 28 kementerian bagi memastikan pelbagai projek infrastruktur untuk rakyat dapat dilaksanakan.

“Tahun ini KKR menerima RM9.6 bilion peruntukan pembangunan, termasuk bagi pembinaan dan penyelenggaraan jalan serta bangunan, selain kerja membaiki dan membina cerun serta jambatan.

“Jadi kita berharap tahun depan bukan sahaja peruntukan kepada JD ditambah, tetapi KKR dikekalkan sebagai kementerian yang menerima peruntukan pembangunan terbesar kerana masih banyak projek pembangunan untuk rakyat perlu dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×