Projek Penjara Sibu RM275.33 juta siap Februari 2029

Projek Penjara Sibu RM275.33 juta siap Februari 2029

ALEXANDER Nanta Linggi sewaktu berucap pada majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Pelantikan Pengarah Projek Pembinaan Penjara Sibu, Sarawak di sini, hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Projek Penjara Sibu, Sarawak, bernilai RM275.33 juta dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2029.

Pembinaan projek selama 36 bulan itu dilaksanakan menggunakan kaedah Reka dan Bina.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya mahu projek itu disiapkan tepat pada masanya atau lebih awal (AOT) bagi membantu mengurangkan kesesakan di penjara.

Beliau turut mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR)  terutama pengarah dan pasukan projek supaya memantau secara rapi projek itu dari mula hingga ia siap. 

“Lebih lambat projek siap, lebih lambatlah rakyat menikmati manfaat projek kerajaan dan dalam hal ini, mengurangkan kesesakan di penjara-penjara negara. 

“Laksanakan libat urus setiap masa dan pastikan bayaran dibuat mengikut perjanjian dan pengesahan kerja yang lengkap. 

“Saya tidak mahu dengar projek ini jadi bermasalah lantaran pengarah dan pasukan projek tidak membantu dan bekerjasama terutama dalam memastikan bayaran juga dibuat on-time.

“Anda diperhati dan dipantau. Pembangunan infrastruktur negara penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan perpaduan rakyat. Amanah ini mesti dilaksanakan dengan sempurna,” katanya berucap pada majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Pelantikan Pengarah Projek Pembinaan Penjara Sibu, Sarawak di sini, hari ini.

Alexander turut mengingatkan supaya projek berkenaan dapat diletakkan dalam kategori Sifar Sakit, Sifar Tergendala, Sifar EOT dan Sifar Kemalangan di tapak, selari dengan tahap profesionalisme, ketekunan, integriti dan rasa tanggungjawab yang tinggi kepada rakyat dan negara.

Kata beliau, 75 peratus kegagalan pengurusan pelbagai projek infrastruktur berpunca daripada faktor pengurusan kontraktor termasuk pengurusan kewangan.

Kegagalan tersebut melibatkan kelemahan dalam aspek pengurusan projek, pembelian serta penyediaan stok bahan binaan, pengurusan sumber tenaga kerja, selain kegagalan pegawai penyelia (SO) menguruskan pembayaran mengikut kerja yang telah disahkan dan menepati spesifikasi.’

“Saya juga ingin mengingatkan kepada kontraktor yang berjaya bahawa tanggungjawab anda bermula dari saat ini. Anda bukan sahaja bertanggungjawab menjaga nama baik kementerian dan agensi terlibat.

“Anda bertanggungjawab melaksanakan projek ini dengan penuh amanah kerana setiap sen yang dilaburkan adalah wang rakyat dan negara.

“Saya tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas sekiranya pelaksanaan projek ini tidak menepati kontrak dan spesifikasi yang telah ditetapkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×