MELAKA: Seramai 10 orang Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka dijadual mengangkat sumpah jawatan masing-masing dalam majlis di Seri Negeri, di sini, esok pukul 3 petang.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengesahkan perkara itu selepas mengadakan perjumpaan secara tertutup dengan semua 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Seri Negeri, hari ini.
“Esok angkat sumpah,” ujar ringkasnya kepada pemberita hari ini.
Semalam, Ab Rauf mengesahkan barisan Exco kerajaan negeri bagi penggal baharu akan dihadkan kepada 10 orang dan turut membabitkan wakil rakyat daripada PN.
Perkembangan itu menyaksikan pembentukan barisan pentadbiran kerajaan negeri kali ini bukan sahaja melibatkan wakil BN malah memberi ruang kepada wakil PN untuk bersama-sama menganggotai pentadbiran negeri.
Antara perkara yang menjadi perhatian ialah kedudukan enam penyandang Exco yang berjaya mempertahankan kerusi masing-masing dalam PRN Melaka, Sabtu lalu, sama ada akan dikekalkan atau berlaku perubahan portfolio.
Enam penyandang Exco yang berjaya memenangi semula kerusi masing-masing ialah Datuk Rais Yasin (Sungai Udang), Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (Telok Mas), Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh (Merlimau), Datuk Fairul Nizam Roslan (Asahan), Datuk Ngwe Hee Sem (Machap Jaya) dan Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer (Ayer Limau).
Sekiranya keenam-enam mereka dikekalkan, Ab Rauf perlu mengisi empat lagi kekosongan bagi melengkapkan kuota 10 Exco yang ditetapkan.- UTUSAN











