Nikmati durian ‘dusun gaduh’

Nikmati durian ‘dusun gaduh’

Sebahagian penggemar raja buah yang menikmati durian di dusun gaduh, Kampung Guntung, Sungkai Perak, baru-baru ini. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Bagi penggemar raja buah, peluang menikmati durian di dalam dusun pasti menjadi pengalaman yang indah dan sukar dilupakan.

Lebih-lebih lagi peluang mencari dan mengutip sendiri buah yang baru luruh daripada tangkainya.

Itulah antara yang ditawarkan oleh pemilik ‘dusun gaduh’ di Kampung Guntung, Sungkai dekat sini, Haiwazi Adam, 73.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati pakej menikmati durian dalam dusun yang diperkenalkan mendapat perhatian warga kota yang pulang ke kampung pada cuti hujung minggu, baru-baru ini.

Kata Haiwazi, dusunnya itu diserbu oleh kira-kira 200 pelanggan dari Kuala Lumpur dan juga penduduk tempatan pada cuti tersebut.

“Buah durian di dusun saya gugur tidak mengira musim. Cuma buat masa ini buahnya tidak sebanyak pada musimnya tetapi cukup untuk dinikmati oleh pelanggan.

“Saya dapat idea menamakan dusun gaduh berdasarkan cerita nenek moyang dulu. Apabila ahli keluarga balik ke kampung dalam musim durian masing-masing berebut-rebut mencari buah durian dan ‘bergaduh,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Menurut Haiwazi, dusun tersebut adalah seluas kira-kira tujuh ekar dan pada musim lalu ia berbuah tiga kali selain buahnya amat berkualiti.

Katanya, setakat ini hanya durian kampung yang berbuah, durian jenis lain belum berbunga lagi.

“Tiada bayaran masuk dikenakan dan bagaimanapun orang ramai yang hendak menikmati durian boleh membeli durian dijual bermula dengan harga RM5 sekilogram. Cuma buah dijangka lebat pada Jun atau Ogos ini,” tambahnya.

Seorang pengunjung, Hasif Hashim, 36, dari Ulu Langat berkata, makan durian bersama keluarga di dalam kebun lebih nikmat berbanding ketika di rumah dan di gerai orang jual durian.

“Saya bersama dua ahli keluarga datang ke sini untuk menikmati durian segar yang baru dikutip bersama keluarga pemilik dusun gaduh.

“Kami semua begitu teruja dapat menikmati durian dalam suasana dusun yang cantik udara yang nyaman dan segar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini