Intervensi awal bantu murid Tahun Satu kuasai 3M

Intervensi awal bantu murid Tahun Satu kuasai 3M

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kanak-kanak yang tidak pernah mengikuti prasekolah memerlukan intervensi awal seperti pembelajaran berasaskan permainan untuk menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) ketika memasuki Tahun Satu pada usia enam tahun.

Pensyarah Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Ismi Arif Ismail berkata, guru boleh menyesuaikan pengajaran dengan keperluan murid melalui aktiviti yang diulang secara konsisten serta penggunaan bahan pembelajaran yang menarik dan mudah difahami.

Katanya, guru juga perlu diberi latihan khusus dalam pendidikan awal kanak-kanak supaya dapat mengenal pasti dan menangani jurang penguasaan kemahiran asas dalam kalangan murid sejak awal persekolahan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pendekatan pengajaran yang sesuai mestilah bersifat inklusif dan bersasar dengan penekanan khusus kepada aspek literasi dan numerasi asas secara berperingkat. Di samping itu, penglibatan ibu bapa dan komuniti juga amat penting untuk memperkukuh kemahiran asas tersebut.

“Menetapkan purata 25 murid bagi setiap kelas Tahun Satu adalah satu sasaran yang sangat wajar untuk memastikan kualiti pengajaran dan pembelajaran yang optimum. Sekolah-sekolah perlu mempunyai ruang bilik darjah dan guru yang mencukupi serta perancangan penempatan murid yang komprehensif.

“Sasaran ini sukar untuk dicapai tanpa pelaburan drastik dalam infrastruktur dan sumber manusia. Jika kerajaan tidak menyediakan dana dan strategi bersepadu untuk menangani kekurangan kapasiti ini, maka pelaksanaan dasar tersebut berisiko menjadi retorik semata-mata tanpa impak yang sebenar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini melaporkan, kerajaan perlu menetapkan sekitar 25 murid bagi setiap kelas Tahun Satu supaya bilik darjah tidak sesak jika kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun diwajibkan mulai 2029.

Sementara itu, Pakar Pendidikan, Dr. Salleh Amat berkata, saringan awal perlu dilaksanakan terhadap murid Tahun Satu tanpa mengira usia bagi mengenal pasti tahap penguasaan kemahiran asas masing-masing sebaik sahaja memasuki alam persekolahan.

Katanya, perbezaan usia tidak semestinya mencerminkan tahap keupayaan murid, malah mereka yang pernah mengikuti pendidikan prasekolah juga belum tentu menguasai kemahiran 3M dengan baik.

“Guru sendiri perlu memahami perkembangan setiap murid dan bersikap terbuka dalam mendekati mereka. Jangan mengandaikan semua murid yang memasuki Tahun Satu sudah belajar ABC dan menguasai asas 3M.

“Guru boleh memberikan lebih banyak perhatian kepada pembentukan diri murid dan membantu mereka membina keyakinan diri. Dengan keyakinan itu, murid berani bercakap dan bertanya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini