PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak dibenarkan untuk menjalani tahanan di rumah di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur, bersama ahli keluarga terdiri daripada isteri, anak, menantu dan cucunya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Lembaga Pengampunan memberikan syarat-syarat untuk bekas Perdana Menteri itu menjalani tahanan di rumah selepas mendapat Perintah Pengampunan Bersyarat.
Katanya, syarat-syarat itu mempunyai empat perkara iaitu sekatan tempat tinggal dan pergaulan; kawalan pergerakan dan lawatan; sekatan penggunaan telefon dan alat telekomunikasi serta perlu menghadiri program pemulihan dan intervensi.
“Itu bahagian pertama yang didatangkan dengan surat Lembaga Pengampunan. Kemudian (Jabatan) Penjara juga dibenarkan mengenakan syarat-syarat untuk menyediakan kawalan dan selian, juga arahan dan taracara.
“Semua itu sudah dibaca kepada Datuk Seri Najib Razak sebelum dipindahkan daripada penjara ke Jalan Langgak Duta,” katanya katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, di dalam keputusan Lembaga Pengampunan itu, disebut dengan jelas berkenaan lokasi tahanan iaitu di Nombor 11, Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur.
Justeru, katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggunakan kuasa Menteri Dalam Negeri melalui Seksyen 3, Akta Kementerian Dalam Negeri mewartakan premis tersebut.
“Di situ juga disebut, tak dibenarkan berpindah ke rumah lain, bangunan lain atau premis lain. Tak dibenarkan keluar daripada alamat itu melainkan dengan izin bertulis. Misalnya, (beliau) mahu pergi sembahyang Jumaat, kita akan bawa.
“Tak dibenarkan tinggal bersama seseorang yang lain selain daripada ahli keluarga kamu, terdiri isteri-isteri, anak-anak, menantu, cucu kecuali dengan kebenaran bertulis terlebih dahulu. Lembaga Pengampunan tulis siapa yang boleh tinggal (bersama Najib),” katanya.
Beliau berkata, antara syarat lain dikenakan adalah, Najib tidak dibenarkan untuk menerima tetamu melainkan dengan kebenaran bertulis.
“Sekatan penggunaan telefon, tak dibenarkan penggunaan telefon dan alat telekomunikasi selain daripada yang didaftarkan oleh Jabatan Penjara untuk tujuan mengesahkan berada di rumah apabila dihubungi.
“Tidak boleh juga menyebabkan atau mendedahkan diri dalam mana-mana liputan media atau platfom media sosial. Tak boleh buat sebarang kenyataan atau ulasan dalam mana-mana liputan media.
“Tak boleh juga melibatkan diri dalam mana-mana majlis keramaian, jauh sekali untuk melibatkan diri dalam aktiviti politik. Hal-hal ini merupakan syarat-syarat dalam Lembaga Pengampunan,” katanya.
Beliau berkata, syarat itu bukan hanya dibuat khusus kepada Najib sebaliknya sebagai persiapan bagi menghadapi sebarang kes sama di masa depan. – UTUSAN









