Bayi lapan bulan perlukan RM90,000 pembedahan jantung berlubang

Bayi lapan bulan perlukan RM90,000 pembedahan jantung berlubang

MOHAMAD Alamin Abdullah (kanan) dan isterinya, Noorasmanizam Mohtar (kiri) merayu bantuan sumbangan RM90,000 bagi merawat penyakit jantung berlubang bayi mereka, Nur Sofia Zahirah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Seorang bayi perempuan berusia lapan bulan memerlukan bantuan dana sebanyak RM90,000 bagi menjalani pembedahan segera selepas disahkan mengalami masalah jantung berlubang yang mengancam nyawanya.

Lebih menyedihkan, bayi berkenaan, Nur Sofia Zahirah Mohamad Alamin bukan satu-satunya ahli keluarga yang berdepan masalah kesihatan itu apabila ibu, Noorasmanizam Mohtar, 46 dan kakaknya yang berusia sembilan tahun turut mempunyai sejarah penyakit sama sejak kecil.

Bapanya, Mohamad Alamin Abdullah, 52, berkata, anak bongsunya itu dilahirkan secara pramatang pada usia kandungan 34 minggu dengan berat hanya 1.9 kilogram (kg).

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, Nur Sofia Zahirah pada awalnya berada dalam keadaan sihat dan dibenarkan pulang selepas seminggu dilahirkan, namun kesihatannya mula merosot apabila mengalami sesak nafas serta demam ketika berusia tujuh bulan.

”Anak saya dimasukkan ke hospital akibat jangkitan influenza sebelum doktor mengesan bunyi tidak normal pada jantungnya.

”Pemeriksaan lanjut mengesahkan dia mengalami kecacatan septum ventrikel (VSD) iaitu lubang pada dinding pemisah antara dua ruang bawah jantung yang berukuran satu sentimeter (cm),” katanya di sini semalam.

Menurutnya, keadaan bayinya kini kritikal sehingga memerlukan bantuan oksigen di hospital sejak sebulan lalu sekali gus menyebabkan pembedahan perlu dilakukan segera.

Katanya, kos pembedahan berjumlah RM90,000 itu jauh di luar kemampuan keluarga berkenaan menyebabkan mereka terpaksa mendapatkan bantuan orang ramai bagi menyelamatkan nyawa anak mereka.

Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya melancarkan kutipan dana sebanyak RM90,000 bagi membantu menampung kos pembedahan Nur Sofia Zahirah selepas menerima permohonan daripada keluarga berkenaan.

Katanya, bapa bayi itu hanya bekerja kampung dan sebagai pesawah, manakala isterinya merupakan suri rumah selain mereka turut menanggung perbelanjaan pemeriksaan kesihatan susulan isteri serta anak sulung yang mempunyai masalah jantung.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama ONE HOPE CHARITY & WELFARE (3201428817) atau melayari laman web onehopecharity.org. Pertanyaan lanjut boleh dibuat menerusi talian 04-539 9212, 016-4192 192, 019-2322 192 atau 018-911 4192. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini