BUKIT MERTAJAM: Seorang wanita menghadapi dugaan bertimpa apabila suaminya disahkan menghidap kanser dan diserang strok manakala anak perempuan mereka berusia 10 tahun pula didiagnosis menghidap penyakit jantung berlubang.
Nur Fauzana Aziz, 42, yang dahulunya seorang suri rumah kini terpaksa bekerja sebagai jurujual selepas suaminya, Arman Che Ani, 42, tidak lagi mampu mencari nafkah kerana kanser nasofaring (NPC) dihidapinya telah merebak sehingga ke paru-paru dan otak.
Menurut Nur Fauzana, suaminya yang juga bekas pemandu lori turut diserang strok selain pernah terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 2022 sehingga terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda dan memerlukan penjagaan sepenuh masa pada ketika ini.
Katanya, keadaan menjadi semakin sulit apabila anak bongsu mereka, Nur Ayra Dayana yang dilahirkan dengan penyakit jantung kongenital jarang berlaku iaitu Truncus Arteriosus Type 1 dan Kecacatan Septum Ventrikel (VSD), kini memerlukan pembedahan segera.
“Nur Ayra pernah menjalani pembedahan jantung ketika bayi sebelum membesar seperti kanak-kanak lain, namun, mula mengadu sakit dada sejak April lalu. Pemeriksaan susulan mendapati, conduit jantung atau tiub buatan dipasang ketika bayi, terlalu sempit akibat diselaputi tisu badan selain saiznya tidak lagi sesuai dengan pertumbuhan fizikalnya.
“Doktor menasihatkan supaya conduit lama dikeluarkan dan digantikan dengan yang baharu bagi memastikan fungsi jantung kembali normal. Tetapi, kami tidak mampu menanggung kos pembedahan yang dianggarkan sebanyak RM105,000,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya tampil membantu keluarga berkenaan dengan melancarkan kutipan dana bagi menampung kos pembedahan Nur Ayra.
Katanya, anak sulung pasangan itu yang berusia 18 tahun kini menjaga bapanya di rumah, manakala seorang lagi anak perempuan mereka yang berusia 13 tahun masih bersekolah.
Sumbangan boleh disalurkannya menerusi akaun Public Bank atas nama One Hope Charity & Welfare bernombor 3193433435 (Kod SWIFT: PBBEMYKL) atau menerusi laman www.onehopecharity.org atau dengan memuat turun aplikasi One Hope Charity di telefon pintar. – UTUSAN








