AGC tangguh tahanan rumah Najib

AGC tangguh tahanan rumah Najib

KENDERAAN yang dipercayai membawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, keluar dari Penjara Kajang semalam selepas selesai menjelaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadap berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd.-BERNAMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak hanya menikmati pembebasan sementara setelah keputusan Jabatan Peguam Negara menangguhkan pelaksanaan perintah tahanan di rumah terhadap bekas Perdana Menteri itu sementara mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat.

Najib sepatutnya menjalani baki tempoh hukuman penjara di kediamannya di Jalan Langgak Duta selepas membayar denda RM50 juta berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd.

Beliau telah pun dibawa keluar dari Penjara Kajang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur dan dijadualkan meneruskan baki tempoh hukuman di kediamannya setelah dibuat pembayaran denda RM50 juta berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun Jabatan Peguam Negara memaklumkan, penangguhan pelaksanaan hukuman tahanan di rumah diambil susulan timbul persoalan perundangan berhubung interpretasi frasa ayat ‘menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta’ dan kesannya terhadap baki hukuman penjara bagi kes SRC International.

Katanya, berdasarkan Perintah Pengampunan Bersyarat tersebut, Najib diperkenankan untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 tertakluk sekiranya beliau menyelesaikan pembayaran denda sebanyak RM50 juta serta pematuhan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan.

“Walau bagaimanapun, terdapat dua interpretasi yang perlu diberikan penelitian lanjut berhubung perkara itu.

“Interpretasi pertama, pembayaran denda RM50 juta hanya memenuhi komponen hukuman denda, manakala hukuman penjara bagi kes SRC International masih berjalan sehingga 23 Ogos 2028.

“Berdasarkan interpretasi itu, tahanan di rumah merupakan kaedah atau tempat alternatif bagi menjalani baki hukuman penjara tersebut dan bukannya penamatan hukuman penjara,” katanya dalam kenyataan semalam.

Interpretasi kedua pula, katanya, pembayaran denda RM50 juta merupakan syarat yang membolehkan pengampunan berkuat kuasa sepenuhnya yang membawa kesan bahawa keseluruhan hukuman bagi kes SRC International termasuk hukuman penjara dianggap telah selesai.

“Persoalan ini turut melibatkan kesan undang-undang Order of Discharge on Payment of Fine bertarikh 6 November 2026 yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur setelah pembayaran denda RM50 juta direkodkan.

“Perintah tersebut mengarahkan supaya Najib dilepaskan serta-merta, namun pada masa yang sama menyatakan bahawa baki hukuman hendaklah dijalani secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 berdasarkan Perintah Pengampunan Bersyarat,” katanya.

Selain itu, kata AGC, persoalan mengenai status baki hukuman penjara bagi kes SRC International turut mempunyai implikasi terhadap pelaksanaan hukuman penjara ke atas Najib bagi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, ini khususnya berhubung perintah mahkamah yang menetapkan bahawa hukuman bagi kes 1MDB hendaklah bermula selepas selesai hukuman penjara bagi kes SRC International.

“Perkara itu juga perlu diteliti mengambil kira permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman bagi kes 1MDB yang telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 14 Oktober 2026,” katanya.

Jabatan itu berpandangan penjelasan undang-undang yang jelas dan muktamad perlu diperoleh sebelum tindakan pelaksanaan selanjutnya diambil memandangkan isu-isu yang dibangkitkan melibatkan persoalan perundangan yang kompleks.

“Selain itu, mempunyai implikasi terhadap pelaksanaan titah pengampunan dan perintah mahkamah serta merupakan suatu keadaan yang belum pernah dihadapi sebelum ini,” katanya.

Semalam UMNO membayar denda RM50 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur setelah parti itu mencapai jumlah kutipan dana yang dilancarkan bagi membantu bekas Perdana Menteri tersebut.

Jumlah tersebut merupakan syarat diletakkan oleh Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang berlangsung di Istana Negara pada 18 September itu bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya telah menyelesaikan segala proses pembayaran kepada mahkamah semalam.

Menurut beliau, pembayaran itu dibuat menerusi tabung yang dilancarkan pada 18 September lalu dan telah memperoleh jumlah sumbangan mencukupi hasil kutipan daripada ahli UMNO dan orang ramai.

“UMNO ingin mengumumkan bahawa jumlah kutipan dana melalui Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan pada 18 September lalu bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudahpun mencapai sasaran dan mencukupi.

“UMNO telah menyelesaikan segala proses pembayaran kepada pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi (semalam),” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, UMNO melancarkan Tabung Solidariti Najib untuk memberi peluang kepada pemimpin, ahli dan penyokong parti menyumbang ekoran peguam Najib memaklumkan anak guamnya tidak mampu membayar denda RM50 juta sebagai syarat untuk membolehkan menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Pada 18 September lalu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri berkata, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib.

Menurut kenyataan itu, pengampunan berkenaan membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 sekiranya beliau membayar denda sebanyak RM50 juta.

Najib, 73, kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Pada 23 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhir Najib dan mengekalkan sabitan serta hukuman berkenaan. Pada hari sama, beliau mula menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang.

Najib kemudian mengemukakan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 2 September 2022. Permohonan itu dipertimbangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 29 Januari 2024.

Pada 2 Februari 2024, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri mengumumkan keputusan Lembaga Pengampunan yang mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini