PETALING JAYA: Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka kekal pada paras 2.75 peratus sehingga suku pertama 2027 sebelum berpotensi dinaikkan sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus antara Mac hingga Mei tahun depan sekiranya inflasi mula melepasi paras 2.5 peratus.
Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, unjuran berkenaan turut selari dengan jangkaan OCBC dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) yang menjangkakan proses normalisasi kadar faedah berlaku secara beransur-ansur, bukannya menerusi kitaran pengetatan dasar monetari secara agresif.
Beliau berkata, mesyuarat pertama Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2027 dijangka menjadi petunjuk awal sama ada kadar faedah perlu diselaraskan, bergantung kepada perkembangan tiga petunjuk ekonomi utama.
“Petunjuk berkenaan merangkumi Indeks Harga Pengguna (CPI) bagi suku keempat 2026 untuk menilai sama ada peningkatan kos di peringkat pengeluar mula diterjemahkan kepada harga pengguna.
“Ia turut melibatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tempoh sama serta keputusan dasar monetari Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) pada Disember ini.
“Pertumbuhan KDNK yang kekal melebihi lima peratus bersama tekanan inflasi yang semakin meningkat boleh mempengaruhi pertimbangan BNM.
“Selain itu, keputusan Fed menurunkan kadar faedah juga akan memberi lebih ruang kepada bank pusat itu untuk mengekalkan OPR pada paras semasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, BNM mengekalkan OPR pada paras 2.75 peratus buat kali kesembilan berturut-turut sejak Julai 2025 menerusi mesyuarat terakhir MPC bagi tahun ini.
Keputusan itu menyaksikan kadar penanda aras berkenaan kekal pada paras sama sepanjang 2026.
BNM telah menetapkan enam mesyuarat MPC bagi 2027, bermula pada 21 Januari, diikuti 4 Mac, 6 Mei, 8 Julai, 9 September dan 4 November dengan kesemuanya dijadualkan berlangsung pada Khamis.
Sementara itu, Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai turut menjangkakan OPR kekal pada paras 2.75 peratus pada mesyuarat pertama MPC BNM tahun depan yang dijadualkan pada 21 Januari.
Beliau berkata, keputusan bank pusat itu turut bergantung kepada perkembangan beberapa petunjuk ekonomi, termasuk inflasi selepas musim perayaan akhir tahun, pergerakan ringgit berbanding dolar AS serta hala tuju kadar faedah Fed.
“Selain itu, momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku keempat 2026, keadaan perdagangan global dan permintaan eksport turut menjadi pertimbangan dalam menentukan hala tuju dasar monetari negara,” katanya.
Mengulas kemungkinan kenaikan OPR pada 2027, beliau berkata, langkah itu masih berpotensi berlaku, namun bukan senario asas ketika ini.
“BNM hanya akan mempertimbangkan kenaikan kadar faedah sekiranya inflasi meningkat secara berterusan melebihi tiga hingga empat peratus.
“Ia juga boleh berlaku jika pertumbuhan penggunaan dan kredit berkembang terlalu pantas sehingga mencetuskan risiko ekonomi terlalu panas (overheating) atau tekanan ketara terhadap ringgit memerlukan peluasan jurang kadar faedah dengan AS.
“Sebaliknya, sekiranya pertumbuhan ekonomi global perlahan, perdagangan dunia terus lemah dan inflasi kekal sederhana, BNM dijangka mengekalkan OPR pada paras semasa bagi sebahagian besar 2027,” katanya.-UTUSAN











