KUALA LUMPUR: Analisis awal terhadap 43 sampel petrol RON95 yang diambil susulan aduan kerosakan enjin kenderaan mendapati kandungan air dalam semua sampel berkenaan berada di bawah had pengesanan minimum yang boleh dilaporkan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, laporan awal Jabatan Kimia Malaysia bertarikh 29 Oktober lalu menunjukkan kandungan air dalam kesemua sampel itu kurang daripada 0.05 peratus.
Bagaimanapun katanya, analisis terhadap baki sampel masih diteruskan bagi mengesan kehadiran air dan bahan asing lain yang mungkin terkandung dalam petrol berkenaan.
“Sehingga 31 Oktober lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengambil sebanyak 262 sampel petrol RON95 melibatkan lapan jenama stesen minyak di lapan negeri serta tiga depoh syarikat minyak.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 259 sampel diambil di stesen minyak, manakala tiga lagi diperoleh dari depoh syarikat minyak sebelum dihantar secara berperingkat kepada Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai keputusan analisis Jabatan Kimia terhadap sampel RON95, selain tindakan memulihkan keyakinan pengguna serta pihak yang bertanggungjawab menyediakan pampasan kepada pengguna terjejas.
Menurut Armizan, pemeriksaan awal memberi tumpuan kepada pengesanan kandungan air kerana analisis bagi mengenal pasti keseluruhan jenis bahan asing dalam petrol memerlukan tempoh lebih panjang.
Katanya, KPDN mula menerima aduan berhubung dakwaan petrol RON95 mengandungi bahan asing sehingga menyebabkan kerosakan enjin kenderaan pengguna sejak 3 Oktober lalu.
“Susulan aduan itu, pegawai penguat kuasa KPDN menjalankan siasatan di stesen minyak terlibat selain mengambil sampel bahan api untuk dianalisis,” katanya.-UTUSAN











