KUALA LUMPUR: Pelaksanaan BUDI95 terus dipantau termasuk keperluan perubahan kuota pada masa depan, keberkesanan mekanisme penyasaran dan kesannya kepada rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang penambahbaikan akan dibuat secara berhemah berdasarkan data penggunaan sebenar, keadaan pasaran tenaga dan kedudukan fiskal negara.
Katanya, ini bagi memastikan subsidi terus disalurkan secara adil, bersasar dan mampan.
“Had kelayakan BUDI95 telah diselaraskan daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan berdasarkan analisis penggunaan sebenar serta keperluan untuk mengimbangi aspek keselamatan bekalan dan kesinambungan bantuan bersasar kepada rakyat.
“Penetapan had ini dibuat berdasarkan data penggunaan sebenar BUDI95 antara Oktober 2025 sehingga Mei 2026, kurang daripada satu peratus pengguna BUDI95 mengguna lebih daripada 200 liter RON95 secara konsisten. Secara purata, penggunaan RON95 adalah sekitar 100 liter sebulan,” katanya menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) berkenaan penurunan kuota BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter dan adakah kemungkinan berlaku perubahan kuota dalam masa terdekat.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, dapatan itu menunjukkan had kelayakan semasa masih mencukupi untuk menampung keperluan mobiliti harian majoriti rakyat tanpa menjejaskan corak penggunaan biasa mereka.
Katanya, harga bersubsidi RM1.99 seliter terus dikekalkan bagi 200 liter pertama setiap bulan.
Menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) berhubung penjimatan yang dicapai hasil pengurangan kuota subsidi BUDI95, Anwar berkata, ruang fiskal yang diwujudkan dimanfaatkan semula kepada rakyat.
“Hasil daripada pelaksanaan penyasaran subsidi juga membolehkan kerajaan meningkatkan peruntukan bantuan bersasar kepada rakyat terbanyak dalam usaha mengukuhkan jaringan perlindungan sosial yang lebih inklusif.
“Antaranya peningkatan peruntukan kepada RM15 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) merupakan peruntukan yang tertinggi pernah disediakan.
“Peruntukan bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi 2026 juga meningkat kepada RM3.1 bilion berbanding tahun-tahun sebelumnya dan peruntukan sebanyak RM1 bilion diperuntukkan untuk menangani kos sara hidup,” katanya.
Beliau berkata, ia turut disalurkan melalui Program Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah hampir RM800 juta tanpa mengira golongan dalam menyediakan keperluan asas persekolahan anak-anak. – UTUSAN










