Deepavali: Diskaun tol 50 peratus pada 6 dan 7 November

Deepavali: Diskaun tol 50 peratus pada 6 dan 7 November

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan memberikan diskaun tol 50 peratus selama dua hari, iaitu pada 6 dan 7 November ini, sempena sambutan Deepavali.

 

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, diskaun itu bermula pukul 12 tengah malam pada 6 November dan berakhir pukul 11.59 malam pada 7 November.

Memuatkan artikel berkaitan…

 

Katanya, diskaun itu melibatkan kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol serta kenderaan Kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang.

 

Bagaimanapun, diskaun itu tidak terpakai di dua plaza tol sempadan negara, iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia–Singapura (Linkedua).

 

“Pemberian diskaun tol ini dianggarkan melibatkan bayaran pampasan sebanyak RM20.11 juta kepada syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat, yang akan ditanggung oleh kerajaan, tertakluk kepada pengesahan data trafik,” katanya dalam kenyataan.

 

Menurut beliau, pemberian diskaun itu diharap dapat meringankan kos perjalanan rakyat, khususnya mereka yang pulang ke kampung halaman atau menziarahi keluarga sempena Deepavali.

 

Katanya, Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan menyelaras pelaksanaan diskaun itu bersama syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat.

 

“Pengguna lebuh raya turut disaran merancang perjalanan lebih awal, menyemak keadaan trafik dan memastikan baki kad Touch ’n Go atau e-dompet mencukupi sebelum memulakan perjalanan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini