PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini diberitahu bahawa kerajaan dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mencapai persetujuan menyelesaikan pertikaian berhubung isu pemberhentian peruntukan kepada kawasan Parlimen Muar secara baik.
Peguam, Lim Wei Jiet, yang mewakili Syed Saddiq dan tiga pengundi Parlimen Muar, berkata perkembangan baharu itu menyaksikan kedua-dua pihak mencapai persetujuan secara prinsip berhubung isu itu.
Beliau berkata, antara perkara yang dipersetujui ialah peruntukan bagi 2023 berjumlah RM500,000 untuk kebajikan Parlimen Muar yang sebelum ini dibatalkan akan dikembalikan semula.
Selain itu, peruntukan RM230,300 bagi projek spesifik seperti projek sekolah, surau, dan kampung di bawah sistem MyKHAS juga akan dikembalikan semula.
“Pemohon dan responden telah mencapai persetujuan pada semalam untuk menyelesaikan pertikaian ini.
“Antara perkara yang dipersetujui ialah kerajaan mengembalikan peruntukan RM500,000 bagi 2023 serta RM230,300 bagi projek khusus di bawah MyKHAS,” katanya.
Wei Jit berkata, kedua-dua pihak kini sedang meneliti mekanisme terbaik dan terperinci bagi merekodkan terma penyelesaian itu secara rasmi di mahkamah.
Katanya, pemohon memohon tarikh pengurusan kes untuk mahkamah merekodkan penghakiman bersetuju selepas semua butiran mekanisme dimuktamadkan.
Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi yang mewakili pihak responden turut mengesahkan perkara itu.
Panel hakim yang dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Seri Azizah Nawawi, kemudian menetapkan 7 Disember ini untuk pengurusan kes bagi kedua-dua pihak memaklumkan perkembangan mekanisme saluran peruntukan itu.
Turut bersidang, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Pada 23 April, 2024, Syed Saddiq dan tiga pengundi kawasan Parlimen Muar, Najib Abu Nawar, Mohd Bakirudin Abdullah dan Muhamad Fadzly Bisri, yang memfailkan permohonan itu menamakan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama dan kedua.
Mereka memohon perintah mahkamah untuk membatalkan keputusan memberhentikan penyaluran RM500,000 daripada jumlah RM1.7 juta yang sepatutnya dimasukkan terus ke akaun bank Pusat Khidmat Parlimen Muar bagi program kesejahteraan masyarakat, kebajikan dan bantuan bencana.
Selain itu, mereka memohon mahkamah mengembalikan semula akses Syed Saddiq kepada sistem myKHAS, yang menguruskan dana pembangunan RM2 juta bagi kawasan itu, serta keputusan membatalkan beberapa projek bernilai RM230,300 yang diluluskan melalui sistem itu.
Mereka juga memohon untuk membatalkan keputusan kedua-dua responden, yang enggan melulus atau memberi apa-apa peruntukan kepada pemohon pertama sebagai Ahli Parlimen Muar, untuk program di bawah ‘Projek Mesra Rakyat’ ataupun yang seumpama dengannya bagi tahun 2024.
Permohonan itu difailkan antaranya atas alasan responden telah melanggar hak kesamarataan Syed Saddiq selaku Ahli Parlimen Muar dan tiga pemohon lain sebagai pengundi kawasan Parlimen itu yang terjejas termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
Pada 24 Disember 2024, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Syed Saddiq dan tiga pengundi berkenaan, manakala Mahkamah Rayuan menolak rayuan mereka pada 27 Oktober tahun lalu.
Bagaimanapun, pada 10 Mac lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan Syed Saddiq dan tiga pengundi itu meneruskan rayuan mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan mereka untuk memulakan semakan kehakiman berhubung keputusan kerajaan menghentikan peruntukan disediakan kepada kawasan parlimen itu.











