SHAH ALAM: UiTM Holdings Sdn. Bhd. (UiTM Holdings) menyasarkan keuntungan sehingga RM90 juta mulai tahun depan menerusi pelan pemulihan dan rancangan perniagaan bagi tempoh lima tahun akan datang.
Sasaran itu semakin hampir dicapai selepas sayap pelaburan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berjaya mengurangkan kerugian bulanan hampir 90 peratus daripada RM1.5 juta sebulan tahun lalu kepada kira-kira RM145,000 berdasarkan akaun terbaharu bagi Ogos lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UiTM Holdings, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh berkata, pengurangan kerugian itu dicapai menerusi pelbagai langkah penstrukturan semula tadbir urus dan kewangan strategik sejak beliau mengambil alih pengurusan syarikat pada Januari tahun lalu.
Antara langkah dilaksanakan termasuk rasionalisasi tenaga kerja, menutup syarikat subsidiari yang tidak berdaya maju, memperkemas struktur kepemimpinan dan mengurus aset dengan lebih berkesan.

“Hampir 90 peratus pengurangan kerugian dapat dicapai. Bagi kami tempoh beberapa bulan lagi kita percaya mampu capai pemulihan,” katanya.
Pelan lima tahun UiTM Holdings berteraskan tiga tonggak utama, iaitu mengoptimumkan kos operasi, mengembangkan perniagaan sedia ada dan menstruktur semula keseluruhan kumpulan.
Katanya, syarikat menumpukan dua sektor utama iaitu penjanaan tenaga dan perkhidmatan kesihatan serta perubatan membabitkan enam syarikat dan sebuah hospital swasta.
Dalam masa sama, UiTM Holdings sedang melengkapkan proses pengambilalihan semula Intec Education College dan sebuah syarikat perunding, UiTM Techno Ventures Sdn. Bhd. (TVSB).
“Perjanjian jualan sudah pun ditandatangani bersama UiTM. Sebelum itu kami sudah membuat penilaian dan cadangan pengambilalihan itu dibawa ke Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Kewangan.
“Insya-Allah ia akan selesai pada tahun ini,” katanya.
Mengulas projek ladang solar di Gambang, Kuantan, Mohd. Shukrie berkata, pusat jana tenaga boleh diperbaharui itu tidak dapat beroperasi hampir 10 bulan berikutan kerosakan transformer.
Keadaan itu menyebabkan UiTM Holdings kehilangan pendapatan sehingga RM2.4 juta sebulan, namun syarikat kini menunggu transformer baharu yang perlu diimport dari China.
Beliau berkata, berdasarkan prestasi semasa, UiTM Holdings menyasarkan pengecilan kerugian tahun ini sebelum mencatat keuntungan pada tahun depan.
Sementara itu, beliau berkata, pengurusan baharu berjaya memperoleh dana RM180 juta bagi melaksanakan penstrukturan semula kewangan dan menyelesaikan hutang kritikal yang membebankan syarikat.
Langkah itu penting sebelum UiTM Holdings dapat memberi tumpuan kepada rancangan perniagaan jangka panjang.
Katanya, ketika dilantik sebagai CEO Januari tahun lalu, syarikat berdepan beban kewangan hingga RM600 juta, termasuk pelaburan UiTM sebanyak RM260 juta dan pinjaman kira-kira RM350 juta yang turut melibatkan tunggakan caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan HRD Corp selain bayaran kepada vendor.
“Bermula Januari tahun lalu apabila saya masuk, hendak bayar gaji pekerja pun tidak ada duit, caruman KWSP pekerja tertunggak sampai 15 bulan.
“Jadi, pada awal ketika saya dan kemudian Pengerusi UiTM Holdings, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahaya masuk, ketika itu memang banyak isu. Kami kena menyedarinya. Tetapi matlamat saya ialah memastikan syarikat itu ditransformasikan kepada sesuatu yang lebih baik,” katanya.
Mohd. Shukrie berkata, beliau tidak mengambil pendapatan selama empat bulan pertama selepas dilantik sebagai CEO susulan kedudukan kewangan syarikat yang kritikal.
Manakala Dr. Fathul Bari pula tidak mengambil gajinya selama lapan bulan sejak dilantik pada Julai lalu sehingga pelan pemulihan dan pengurangan kerugian dilaksanakan.
Pada Februari 2023, Utusan Malaysia melaporkan UiTM Holdings menanggung kerugian terkumpul RM157 juta bagi tempoh 2017 hingga 2021.
Bagaimanapun, berdasarkan laporan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), syarikat yang ditubuhkan pada 2007 itu pernah mencatat keuntungan keseluruhan RM26 juta pada 2011, 2014, 2015 dan 2016. – UTUSAN











